Kita buat apa, Allah balas apa!

#RenunganBSS

Kadang-kadang kita mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan yang kita lakukan sendiri. Sedangkan dalam hubungan kita dengan orang lain pun, Allah juga membuka banyak pintu kebaikan.

Perhatikan lima pasangan amal dan balasan ini.

01. Kita memaafkan orang → Allah maafkan kita.

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Tidakkah kalian suka Allah juga mengampunkan kalian? Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.”

[al-Nūr (24):22]

Kalau kita sangat berharap Allah mengampunkan kesalahan kita, bukankah sebaiknya kita membuka ruang untuk memaafkan kesalahan orang lain?

02. Kita lapangkan kesempitan orang → Allah lapangkan kesempitan kita di Hari Kiamat

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

“Sesiapa yang melapangkan seorang mukmin daripada satu kesusahan dunia, Allah akan melapangkannya daripada satu kesusahan pada Hari Kiamat.”

[HR Muslim]

Ada kalanya kita tidak mampu menyelesaikan masalah seseorang. Namun, bantuan kecil kita mungkin cukup untuk meringankan satu bahagian daripada bebannya.

03. Kita mudahkan urusan orang → Allah mudahkan urusan kita di dunia dan akhirat

وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

“Sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang dalam kesempitan, Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat.”

[HR Muslim]

Contohnya, kita memberi tempoh kepada orang yang benar-benar tidak mampu melangsaikan hutang, atau kita bantu kurangkan beban tanggungan seseorang kerana mempunyai ahli keluarga yang ramai.

04. Kita menjaga aib seorang Muslim → Allah menjaga aib kita di dunia dan akhirat

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

“Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”

[HR Muslim]

Kita semua tidak bebas dari aib dan kelemahan. Sehabis baik usahalah untuk menahan diri dari menyebutkan tentang kekurangan orang lain. 

Ada cara untuk menasihati seseorang tanpa memalukannya. Namun, menjaga aib tidak bermaksud membiarkan kezaliman atau bahaya terhadap orang lain berterusan.

05. Kita membantu orang → Allah membantu kita

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

“Allah sentiasa membantu seorang hamba selama hamba itu membantu saudaranya.”

[HR Muslim]

Bantuan tidak semestinya wang. Kadang-kadang ia berupa masa, tenaga, ilmu, nasihat, atau kesediaan mendengar. 

Faedah

Imam al-Nawawī rhm. (w.676H) ketika menyebutnya:

وَفِيهِ فَضْلُ قَضَاءِ حَوَائِجِ الْمُسْلِمِينَ، وَنَفْعِهِمْ بِمَا تَيَسَّرَ مِنْ عِلْمٍ أَوْ مَالٍ أَوْ مُعَاوَنَةٍ أَوْ إِشَارَةٍ بِمَصْلَحَةٍ أَوْ نَصِيحَةٍ وَغَيْرِ ذَلِكَ

“Pada pesanan Nabi saw ini terdapat kelebihan menunaikan keperluan sesama muslim dan memberi manfaat kepada mereka dengan apa yang termampu: sama ada dengan ilmu, harta, bantuan, menunjukkan perkara yang bermanfaat, nasihat, dan sebagainya.”

[Syarh Sahih Muslim]

Kita beribadah kepada Allah ketika solat dan berzikir. Kita juga boleh beribadah kepada-Nya dalam interaksi sesama insan: dengan memaafkan, meringankan beban, memberi kemudahan, menjaga maruah dan menghulurkan bantuan.

Hari ini, siapa yang boleh kita ringankan bebannya?

Comments

Popular posts from this blog

Ianya Ujian, Bukan Penilaian Tuhan

Jangan Singgung Perasaan Fakir Miskin

Apa tujuan selawat untuk Nabi saw? (261121) 240726