Berbaik Dengan Orang Jahat, Hipokrit Ke?



#RenunganBSS

Pernah tak rasa dalam keadaan begini?

Kita tahu seseorang itu bermasalah. Kita tahu perangainya buruk. Kita rasa perlu mengingatkan orang lain supaya berhati-hati dengannya.

Namun begitu, apabila berhadapan dengannya, kita masih bercakap dengan baik dan melayannya dengan baik.

Hipokrit ke macam tu?

Satu peristiwa yang diceritakan oleh ibu kita ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha memberi jawapan kepada persoalan ini.

Nabi ﷺ menyebut keburukan seseorang, tetapi kemudian melayannya dengan baik.

‘Aisyah ra. menyebutkan bahawa seorang lelaki meminta izin untuk bertemu Nabi ﷺ, katanya

أَنَّ رَجُلًا اسْتَأْذَنَ عَلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: ائْذَنُوا لَهُ، فَلَبِئْسَ ابْنُ الْعَشِيرَةِ، أَوْ بِئْسَ رَجُلُ الْعَشِيرَةِ

Seorang lelaki meminta izin untuk bertemu Nabi ﷺ. Baginda bersabda: "Benarkan dia masuk. Sesungguhnya dia seburuk-buruk orang dalam kabilahnya."

فَلَمَّا دَخَلَ عَلَيْهِ أَلَانَ لَهُ الْقَوْلَ

'Apabila lelaki itu masuk menemui baginda, Nabi ﷺ berbicara kepadanya dengan lembut.'

‘Aisyah hairan.

قَالَتْ عَائِشَةُ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ قُلْتَ لَهُ الَّذِي قُلْتَ، ثُمَّ أَلَنْتَ لَهُ الْقَوْلَ؟

(Selepas lelaki itu pulang) Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, tadi engkau menyebut mengenainya apa yang engkau sebutkan, kemudian engkau berbicara dengan lembut kepadanya?”

قَالَ: يَا عَائِشَةُ إِنَّ شَرَّ النَّاسِ مَنْزِلَةً عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ وَدَعَهُ أَوْ تَرَكَهُ النَّاسُ اتِّقَاءَ فُحْشِهِ

Baginda menjawab: “Wahai ‘Aisyah, sesungguhnya antara manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang ditinggalkan atau dijauhi manusia kerana takutkan kejahatannya.”

[HR al-Bukhari & Muslim]

Jadi, adakah Nabi ﷺ bersikap “dua muka”?

Tidak.

Ada perbezaan besar antara bersikap lembut dalam berinteraksi dengan seseorang dan berpura-pura bersetuju dengan keburukannya.

Imam al-Bukhari sendiri meletakkan hadis ini di bawah bab:

بَابُ الْمُدَارَاةِ مَعَ النَّاسِ

Bab: Bersikap 'mudarah' dalam berinteraksi dengan manusia.

Para ulama menggunakan istilah المُدَارَاة — mudārāh untuk sikap berlembut, berhikmah dan mengelakkan kekasaran ketika berinteraksi, terutama apabila ada maslahat atau bagi mengelakkan keburukan yang lebih besar.

Ini berbeza dengan المُدَاهَنَة — mudāhanah, iaitu apabila seseorang mengorbankan atau meninggalkan tuntutan agama demi mendapatkan kepentingan dunia atau keredaan manusia.

Mudah kata:

Mudarah: Kita tetap berpegang pada prinsip, tetapi memilih cara yang lembut dan berhikmah.

Mudahanah: Kita mengorbankan prinsip agama kerana mahu mengambil hati manusia.

Nabi ﷺ tidak memuji keburukan lelaki tersebut. Baginda juga tidak mengatakan bahawa perbuatannya benar.

Sebaliknya, baginda sudah menjelaskan keadaan lelaki tersebut supaya orang lain tidak terpedaya, tetapi apabila berhadapan dengannya, baginda tetap menjaga akhlak dan berbicara dengan baik.

Kenapa Nabi ﷺ menyebut keburukan lelaki tersebut?

Imam an-Nawawi rahimahullah menukilkan penjelasan al-Qadi ‘Iyad bahawa Nabi ﷺ mahu menjelaskan keadaan lelaki tersebut:

فَأَرَادَ النَّبِيُّ ﷺ أَنْ يُبَيِّنَ حَالَهُ لِيَعْرِفَهُ النَّاسُ، وَلَا يَغْتَرَّ بِهِ مَنْ لَمْ يَعْرِفْ حَالَهُ

“Nabi ﷺ mahu menjelaskan keadaannya supaya orang lain mengenalinya dan supaya orang yang asalnya tidak mengetahui tentang tidak tertipu dengannya.”

[Syarh Sahih Muslim, Imam al-Nawawi]

Yang lebih penting daripada identitinya ialah prinsip akhlak yang diajar oleh Nabi ﷺ melalui peristiwa ini.

6 faedah yang boleh kita ambil

01 — Bukan semua keadaan menyebut keburukan seseorang dikira mengumpat.
Jika keburukan itu benar-benar diketahui dan ada keperluan syarie untuk memberi amaran agar orang lain tidak menjadi mangsa, maka ia termasuk usaha kebaikan memberi nasihat dan peringatan.  

02 — Tujuannya mestilah supaya orang berhati-hati, bukan seronok mengata.
Amaran tentang seseorang diberikan agar semua orang lebih berhati-hati, bukan untuk berseronok bercerita tentang keburukan orang atau menjatuhkan maruahnya tanpa keperluan.

03 — Sebut sekadar yang diperlukan.
Perhatikan ungkapan Nabi ﷺ. Ringkas dan tidak ditambah-tambah. Bila sesuatu keburukan perlu dijelaskan, cukupkan maklumat sekadar mencapai tujuan.

04 — Orang yang buruk akhlaknya tetap seorang manusia.
Kita tidak diwajibkan membalas kekasaran dengan kekasaran. Kita masih boleh bercakap dengan baik, berlaku adil dan menjaga batas akhlak ketika berinteraksi dengannya.

05 — Bersikap baik bukan bermaksud menyokong kesalahan.
Kita boleh menolak kejahatan seseorang tetapi tetap melayannya dengan baik. Kita boleh memberi amaran tentang bahayanya tetapi tidak perlu zalim terhadapnya.

06 — Lemah lembut tidak membatalkan amar makruf nahi mungkar.
Kesalahan tetap perlu ditegur dan kejahatan tetap perlu dicegah. Yang diajar oleh sunnah ialah bagaimana melakukannya dengan ilmu, hikmah dan akhlak.

Jadi, kalau kita senyum dan bercakap baik dengannya?

Tidak semestinya kita hipokrit.

Kita tak perlu bersikap kasar kepada seseorang semata-mata untuk membuktikan bahawa kita tidak menyukai perbuatannya.

Kita juga tidak perlu berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja.

Ada titik tengah:

Kita boleh tegas terhadap kesalahan, tetapi lembut terhadap manusia.

Itulah antara keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ.

Kebenaran tidak memerlukan kita menjadi kasar.

Kelembutan pula tidak memerlukan kita menggadaikan kebenaran.

Wallahu a‘lam.

Comments

Popular posts from this blog

Ianya Ujian, Bukan Penilaian Tuhan

Jangan Singgung Perasaan Fakir Miskin

Apa tujuan selawat untuk Nabi saw? (261121) 240726