Lorraine Cormier from Pixabay
#RenunganBSS Bila terlintas berita orang tua membunuh anak kerana tekanan hidup yang kebiasaannya melibatkan isu sumber rezeki, terlintas potongan 2 ayat tentang larangan membunuh anak dengan perbezaan konteks yang sangat halus, namun melengkapi.
Potongan ayat pertama:
وَلا تَقتُلوا أَولادَكُم مِن إِملاقٍ نَحنُ نَرزُقُكُم وَإِيّاهُم
"Janganlah kalian membunuh anak-anak kalian kerana kemiskinan. Kami yang memberi rezeki kepada kalian & juga kepada anak-anak kalian."
[al-An'am(6):151]
Lihat pula potongan ayat ke-2,
وَلا تَقتُلوا أَولادَكُم خَشيَةَ إِملاقٍ نَحنُ نَرزُقُهُم وَإِيّاكُم
"Janganlah kalian bunuh anak-anak kalian kerana bimbangkan kemiskinan. Kami yang memberi rezeki kepada anak-anak kalian & juga kepada kalian!"
[al-Isra'(17):31]
Nampak serupa, tapi tak sama.
Ayat pertama dari surah al-An'am menggambarkan keadaan orang tua yang sedang menghadapi kemiskinan sekarang, lalu merasa diri terbeban sehingga tergamak membunuh anak sendiri.
Adapun ayat ke-2 dari surah al-Isra' pula melibatkan konteks orang tua yang bimbangkan kemiskinan menimpa mereka di masa hadapan, sehingga merasa anak menjadi beban, lalu bertindak membunuh anak-anak.
Dalam kedua-dua keadaan, sama ada sekarang miskin atau nanti miskin; Allah tegaskan larangan 'JANGAN BUNUH ANAK!', seolah-olah terdapat salah faham dari dahulu lagi mengenai ketetapan rezeki yang diatur Tuhan, sehingga mereka menyangkakan anak itu punca kebebanan & perlu disingkirkan dari hidup mereka.
Allah tegaskan hakikat bahagian rezeki buat orang tua dan bahagian rezeki buat anak-anak itu telah Dia tetapkan dan Dia akan uruskan, & tugas kita ialah usaha semampu mungkin sambil meletakkan kebergantungan penuh hanya kepada-Nya tanpa mengabaikan hak-hak Tuhan, diri & orang lain di sekeliling.
Dikatakan bahawa Nabi saw berpesan,
إنَّ أحَدًا لَنْ يَمُوتَ حَتّى يَسْتَكْمِلَ رِزْقَهُ فَأجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ
"Seseorang itu tidak akan mati sehinggalah Allah menyempurnakan rezekinya. Usahalah mencarinya sebaik mungkin."
[HR Malik dalam al-Muwatta]
az-Zurqani (w.1122H) menjelaskan maksud ungkapan - فَأجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ -, katanya:
بِأنْ تَطْلُبُوهُ بِالطُّرُقِ الجَمِيلَةِ المُحَلَّلَةِ بِلا كَدٍّ ولا حِرْصٍ ولا تَهافُتٍ عَلى الحَرامِ والشُّبُهاتِ
'Kalian mencari rezeki dengan (1) cara yang baik lagi halal, tanpa terlalu keras dan berlebihan & tanpa terlibat dengan sumber yang haram & syubhat.
أوْ غَيْرَ مُنْكَبِّينَ عَلَيْهِ مُشْتَغِلِينَ عَنِ الخالِقِ الرّازِقِ بِهِ،
(2) (Maksudnya: Dengan cara) Tidak menimbulkan beban kepada dirinya sendiri dengan menyibukkan diri mencari rezeki lalu mengabaikan hak sang pencipta yang memberikannya rezeki.
أوْ بِأنْ لا تُعَيِّنُوا وقْتًا ولا قَدْرًا لِأنَّهُ تَحَكُّمٌ عَلى اللَّهِ،
(3) Atau maksudnya: Kalian tidak perlu sibuk menetapkan bila waktu dan kadar rezeki itu, kerana ianya kawalan mutlak Allah, (bukan insan).
أوِ اطْلُبُوا ما فِيهِ رِضا اللَّهِ، لا حُظُوظَ الدُّنْيا
(4) Atau maksudnya: Kalian cari apa yang mengandungi nilai keredhaan Allah, bukan kerana menginginkan keuntungan dunia,
أوْ لا تَسْتَعْجِلُوا الإجابَةَ.
(5) Atau maksudnya: Janganlah kalian gopoh mengharapkan jawapan (bila memohon rezeki dari Tuhan.)
[Syarh az-Zurqani 'alal-Muwatta']
Yakinlah. Allah akan cukupkan rezeki. Kita hanya perlu meminta kepada-Nya, bukan selain-Nya.
Usaha sebaik mungkin mencarinya, tanpa perlu mengabaikan hak-hak yang lain.
<<www.linktr.ee/brosyarief>>
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئا
#BroSyariefShares
Comments
Post a Comment