Kenapa Ada Huruf Hilang dari al-Quran?

*KIAMAT NAK DEKAT!! ADA HURUF AL-QURAN YANG HILANG!?*


#NotaTadabburBroSyarief

Perkataan - تَسْتَطِيع - di dalam bahasa Arab bermaksud ‘engkau mampu..’ atau ‘engkau boleh..’. 

Ia merupakan perkataan yang sangat luas digunakan di dalam bahasa Arab. 

Uniknya di dalam al-Quran, Allah tunjukkan sedikit ‘silap mata’ untuk perkataan ini di dalam surah al-Kahfi.

Perhatikan pada ayat ke-67, mula-mula perkataan ini ditulis secara lengkap, tanpa ada huruf yang tercicir,

قَالَ إِنَّكَ لَن *تَسْتَطِيعَ* مَعِيَ صَبْرًا 

Diikuti juga dengan ayat ke-72 & ke-75, ia masih ditulis lengkap.

Selepas itu, pada ayat ke-78, huruf Ya - ي - dihilangkan,

سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ *تَسْتَطِع* عَّلَيْهِ صَبْرًا

Akhir sekali, pada ayat ke-82 pula, huruf ta - ت - pula dihilangkan,

ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ *تَسْطِع* عَّلَيْهِ صَبْرًا

Kesemua tafsir dan terjemahan al-Quran menunjukkan walaupun gugurnya huruf-huruf berkenaan, maknanya masih kekal.

Kenapa boleh berlaku sedemikian? Apa hikmah di sebalik perubahan-perubahan tersebut?

Boleh periksa di dalam semua mushaf atau aplikasi al-Quran yang anda miliki, ia benar-benar bukan masalah cetakan.

Ianya juga bukan tanda al-Quran akan ditarik balik dengan hilangnya beberapa huruf, perkataan atau beberapa halaman dari al-Quran.

Ia sekadar tanda hilangnya pedoman kita memahaminya dan tanda kita perlu kembali proaktif dalam usaha untuk mentadabburi al-Quran. 

Kaedah di dalam bahasa Arab menyebutkan, 

زيادة الحروف في المبنى تدل على زيادة المعنى

Yang bermaksud: Pertambahan huruf dalam binaan perkataan menunjukkan pertambahan (kekuatan) makna.

Perhatikan terus pada perjalanan kisah Musa & al-Khadir bermula dari babak pertemuan mereka kali pertama, 

al-Khadir dengan tegasnya menyebutkan, 

قَالَ إِنَّكَ لَن *تَسْتَطِيعَ* مَعِيَ صَبْرًا

“Sungguh engkau benar-benar tak akan *mampu* (kekal) bersama dengan aku dalam keadaan sabar!” [18:67]

Berat kenyataan al-Khadir bagi Musa kerana mereka baru sahaja bersua, namun dia terus dikecam sebegitu rupa. 

Maka Allah nukilkan bagaimana beratnya keadaan itu dengan perkataan - تَسْتَطِيع - disebut secara penuh tanpa ada huruf yang hilang. 

Begitu juga keadaannya pada ayat ke-72 & ke-75, al-Khadir memberikan peringatan berat kepadanya, dengan perkataan - تَسْتَطِيع - masih disebut secara penuh, setelah dua kali Musa terlupa akan janjinya untuk tidak mempersoal tindakan al-Khadir.

Setelah kali ke-3 Musa melakukan kesilapan yang sama, al-Khadir membuat keputusan untuk menamatkan ‘sesi kelas’ mereka lalu memberi peluang untuk meringankan sedikit beban tanda tanya yang dihadapi Musa.

Katanya, sebagaimana yang Allah nukilkan, 

سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ *تَسْتَطِع* عَّلَيْهِ صَبْرًا

“Aku akan beritahu engkau (sekarang) apa penjelasan bagi (setiap) apa yang (telah berlaku) di mana engkau tak *mampu* bersabar menghadapinya” [18:78]

Beratnya kadar sabar yang perlu ditanggung Musa dari mula pertemuan sehingga beberapa siri tindakan aneh al-Khadir kini mula terasa sedikit ringan, kerana al-Khadir akan mula menjelaskan hikmahnya. 

Maka, digambarkan keringanan itu dengan hilangnya huruf Ya - ي - pada perkataan - تَسْتَطِيع - menjadi hanya - تَسْتَطِع -. Tanpa perlu memanjangkan sebutan huruf - ط - berbaris bawah. Ia lebih ringan.

Kemudian setelah satu per satu penjelasan dibuat bagi setiap peristiwa yang telah berlaku, bagaimana semua itu merupakan arahan dari Allah yang Maha Mengetahui akan hikmah setiap apa yang berlaku.

Walaupun ia hanya penjelasan ringkas, namun ia telah meringankan beban berat persoalan yang bermain di fikiran Musa, sehingga Allah merakamkan kata-kata al-Khadir yang mengakhiri pertemuan mereka, 

ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ *تَسْطِع* عَّلَيْهِ صَبْرًا

“Itulah penjelasan akan apa yang engkau tak *mampu* bersabar menghadapinya” [18:82]

Hilang pula huruf Ta - ت - meringankan sebutan perkataan menjadi hanya - تَسْطِع - sebagai tanda telah terlepasnya beban besar yang menghurung fikiran Musa. 

Demikian hebat ‘silap mata’ yang hakikatnya bukan kesilapan, malah menggambarkan keagungan al-Quran yang tidak mengabaikan walau satu huruf di mana ia tetap memberi makna yang hebat untuk diambil iktibar.

Terakhir.. Allah telah berjanji yang al-Quran akan sentiasa terpelihara [15:9]. Jangan risau, ia tak akan hilang di dunia ini dari dibaca. Yang dibimbangi ialah ia hilang dari diri kita kerana kita tidak membacanya. 

[Ruj: Ma’a Qasas as-Saabiqin fil-Quran]
__
#BroSyariefShares
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئا

Comments