#NotaBroSyarief
TITIK MULA
"Syarief, cuba I'rab jumlah ni..!"
Syaikh Abu Khalid pada waktu itu sedang menguji semua peserta daurah untuk mengi'rab jumlah yang dia sebutkan.
Pertama kali memulakan usaha untuk mendalami Bahasa Arab, dikenalkan dengan matan al-Ajurrumiyyah dan ilmu Nahu.
Dua bulan di bumi haram, tapi tidak satupun berjaya difahami, atau barangkali ianya sangat sedikit. Matan hanya sekadar dihafal. Bila ditanya, melopong.
Ditanya dan diminta bimbingan dari sahabat-sahabat yang turut bersama menyertai daurah, namun tidak satupun penjelasan mereka dapat ditangkap.
Mereka berlatar belakang sekolah agama, telah mengenal bahasa Arab semenjak di bangku sekolah, malah sebahagian besar mereka juga memang penuntut jurusan bahasa Arab.
Adapun BroSyarief.. pertama kali mengenal senarai fi'l (kata kerja) dan dhamir (kata ganti diri) adalah ketika menjejakkan kaki ke Taman Ilmu & Budi.
Itu bibit memori yang agak samar diingat kerana malu mengenang betapa kosongnya diri dari sebarang asas bagi Bahasa Arab.
Sehinggalah apabila Allah membuka peluang untuk diri ini mengorak langkah dalam usaha mengenal dan cuba mendalami bidang agama, namun keadaannya hampir sama.
Masuk kelas Ulum al-Hadits, hampir tiada apa yang dapat difahami. Masuk kelas Ulum al-Quran, hanya mampu kelu mendengarkan syarahan penuh berbahasa Arab dari sang guru.
Walaupun sedikit sebanyak, setelah bertali arus usaha mengasah kemampuan memahami segala seni di sebalik tersusunnya binaan sistem bahasa Arab ini, namun tetap sahaja luas lompong yang ditemui.
Begitu juga apa-apa buku yang ingin dibaca, tidak sedikit yang membawa diri ini ke titik buntu, sehingga sering sahaja rasa putus asa menghinggap.
Dari satu perenggan, barangkali hanya sebaris dua yang dapat ditangkap maksudnya, adapun yang lain.. hm. Buku demi buku, sekadar bagai hinggap rehat di celahan rak, sekali sekala diselak.
Dalam keadaan keliru dan hilang arah tujuan, malah terkapai-kapai mencari tempat berpaut, untuk dirujuk ditanya; lalu terdetik di fikiran:
"Nak lebih faham dan ingat, kongsikan!"
&
"Barangkali di sana, ada yang juga buntu, yang sebaiknya dibantu.."
LANGKAH DIORAK
Berbekal sedikit pengalaman menjadi Tutor di kuliyyah yang lama, juga fasilitator Study Circle, malah pelatih subjek Leadership; maka diorak langkah membina inisiatif berkongsi.
Bermula dari sekadar bacaan Hadits 40 dan huraian ayat-ayat 'IbadurRahman yang sering diulang-ulang di sesi Study Circle di kampus Gombak.
Sambil bergilir ganti mengambil contoh dari beberapa sahabat hebat yang turut membuat perkongsian, Ust Yasir, Ust Masri dan ramai lagi.
Tanpa disedari masa berlalu pantas. Semakin banyak yang dikongsi, semakin banyak yang lekat dalam memori dan difahami; malah diusaha agar terus diamal.
8 tahun berlalu.. dari menyambung pengajian, kemudian disibukkan dengan kerjaya; kemudian kembali semula fokus sepenuh masa menyelesaikan pengajian.
Ruang demi ruang Allah buka untuk lebih memahami, walaupun perlahan dan perit. Menyertai pelbagai seminar, kelas dan sesi talaqqi. Ada yang intensif. Ada yang bersanad. Ada yang berbayar. Semuanya dusahakan pada kadar termampu.
Salah silap berterusan memberi pengajaran sepanjang usaha ini berjalan. Kekurangan di sana sini tidak dibiarkan merosak perjalanan. Malah nasihat demi nasihat ditadah dari para guru agar semakin terbimbing.
Sehinggalah terakhir dari semester yang lalu (Semester II, Sesi 17/18), sebanyak 8 sesi yang berterusan dibuat secara berkala, dan dari semasa ke semasa. Diusahakan pula sesi-sesi daurah mengikut topik-topik tertentu. Ya, semuanya percuma.
TERIMA KASIH
Di sebalik semua ini, ada puluhan malah mungkin lebih tembakan doa dari keluarga tercinta, ramai kenalan dan sahabat yang dikasihi, yang terlibat memberi keberkatan di atas keberlangsungan seluruh sesi-sesi ini.
Malah, tidak sedikit juga yang menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi memenuhi keperluan-keperluan, dari bantuan untuk menyambung pelajaran, menaja penyertaan kursus & seminar, sehinggalah walau sekadar untuk menyaji para peserta di setiap semester.
Hanya Allah sahaja mampu membalas segala budi dan jasa. Moga kelak dikumpulkan bersama di syurga-Nya.
Segala perkembangan yang dilalui dalam hidup dan di jalan menuntut ilmu ini, sebahagian besarnya adalah kerana usaha ini. Terutama sekali pada mengenal puluhan insan yang berterusan mewarnai hidup melalui sesi-sesi ini.
Tanpa ada yang menyertai sesi-sesi ini, pastilah ianya hanya tinggal omong kosong. Malah ada yang ringan tangan berusaha membantu walau sekadar menularkan makluman untuk semua.
Moga Allah berkati mereka dan kita semua dalam usaha untuk menuntut ilmu.
MAKLUM BALAS
Di bawah ini saya kongsikan respon yang dikumpul sebagai muhasabah buat semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak.
Apa yang baik adalah hakikatnya jelas bersumber dari Yang Maha Esa. Namun demikian, usaha penambah-baikan tetap diberi perhatian utama sepanjang masa.









akhi, Mubaarok!
ReplyDelete