Sucinya Fitrah Insan Pada Sucinya Adab Bahasa


#NotaBroSyarief

Semakin masa pantas beredar, semakin itulah juga manusia cuba mengejarnya pada paksaan rasional membongkar makna kehidupan.

Lalu nilai-nilai yang asalnya harmoni dengan fitrah insan dicarik-carik kerana dilihat tidak lagi selari dengan kehendak kepuasan zamannya.

Antara mangsanya, adalah nilai bahasa. 

Apabila generasi bersilih ganti dalam keadaan miskin kosa kata kerana pelbagai punca, mereka bangkit berslogan ‘Apa guna semua itu, yang penting aku tahu apa aku cakap?’

Segalanya diringkas. Segalanya dipotong. Segalanya diulang. Segalanya disebut tanpa mengimbang hikmah. Asalkan pada sangkaannya makna sampai. 

Sehinggalah apa yang nilai bahasanya tidak pernah didengar indah dan elok, sekian lama jatuh di kategori carut dan memalukan, kini dipersoalkan.. 

‘Apa masalahnya? Itu semua anggota tubuh kita juga. Nanti kahwin pun buat aktiviti itu juga! Kenapa nak hipokrit?’

Adakah benar sihat perspektif sedemikian?

al-Quran sebagai kalam Tuhan mempamerkan susunan bahasa terbaik tiada tandingan, kekal difahami berzaman lamanya dari dahulu dan selamanya tanpa ada yang mampu menyainginya.

Bahasanya sempurna!

Lihat saja di dalam surah Yusuf, ketika isteri al-‘Aziz di hadapan seluruh wanita-wanita yang turut tenggelam dalam perasaan yang sama terhadap Yusuf, mengancamnya dengan penjara jika tidak menuruti kemahuan nafsu buas mereka.

Kemudian Allah merakamkan respon Yusuf terhadap kenyataan isteri al-‘Aziz,

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ

“Yusuf berkata: Tuhanku.. Penjara itu lebih aku sukai berbanding apa yang mereka ajak aku kepadanya”

[Yusuf(12):33]

Lihat bagaimana Allah memilih untuk menggunakan bukan sekadar satu malah empat patah perkataan (di dalam bahasa arab) yang secara tersirat merujuk kepada hubungan tersebut.

مِنْ - مَّا - يَدْعُونَنِي - إِلَيْهِ

Malah apabila diterjemahkan, ia menjadi lebih banyak lagi patah perkataannya:

“Daripada - apa - yang mereka ajak aku - kepadanya..”

Sedangkan jika dimainkan gaya fikir mudah yang dicanangkan, bukankah memadai menyebut perkataannya yang asal, yang juga hanya satu patah perkataan sahaja di dalam bahasa arab?

Kenapa perlu ‘bersusah payah’ membazirkan ruang dan menambahkan huruf kata untuk menyatakan sesuatu yang sebenarnya mudah nak difahami? Sebut saja lah perkataannya!

Demikian Allah meletakkan tingginya nilai usaha memelihara hubungan yang asalnya bersifat sangat tersembunyi dan suci di antara dua insan, lelaki dan wanita yang diikat sah; dengan memelihara bahasanya.

Apatah lagi apabila hubungan fitrah itu, ianya diletakkan pada tempat yang salah, tanpa ikatan yang diiktiraf agama; tetap ianya tidak dilafaz jelas. 

Di manakah hilangnya perasaan MALU kita dalam menjaga bahasa, memelihara fitrah insan; sedangkan Tuhan kita telah menunjukkan contohnya setelah sekian lama?

Luruskanlah kembali norma fikiran dengan corak indah acuan Tuhan dengan merenung setiap baris kata indah dalam al-Quran. 

Jauhilah carutan, apa lagi cacian dan makian dengan bahasa yang jauh dari cerminan rahmat Tuhan.
__
#BroSyariefShares
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً

Comments