#NotaBroSyarief
KES A:
Marli (bukan nama sebenar) maklum melanggar lampu merah itu merupakan satu kesalahan undang-undang yang berat di jalan raya.
Namun begitu, saban hari dia melakukannya di sebuah simpang berhampiran tempat kerjanya kerana simpang itu tidak sibuk setiap kali dia melaluinya kerana setiap hari dia akan pulang agak lewat.
Mungkin jika dihitung jumlah dia melanggar lampu merah itu sama dengan jumlah hari bekerjanya di tempat tersebut yang mencecah beberapa tahun, dan dia tidak pernah ditahan, apatah lagi menerima sebarang surat saman.
(Bersambung..) #BSS
KES B:
Fazdi (juga bukan nama sebenar) kini sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana muda di salah sebuah institut pengajian tinggi di dalam negara.
Bermula dari sesi orientasi, Fazdi dan seluruh pelajar diingatkan selalu agar sentiasa mempamerkan kad matrik ketika berada di dalam kampus di waktu kelas-kelas diadakan.
Melanggar peraturan ini jelas merupakan satu kesalahan berat dan akan disaman yang sekiranya tidak segera dibayar akan memberi kesan kepada terhalangnya pelajar dari urusan-urusan penting berkait pelajaran & peperiksaan.
Namun begitu, Fazdi dengan bersahaja tidak mengendahkannya, malah kad matrik lebih kerap tersimpan sahaja di dalam dompetnya untuk dikeluarkan bila perlu sahaja.
Dua bulan berlalu dari semester pertama, sekitar lebih kurang 60 hari, tiada apa pun yang berlaku. Ia meyakinkan Fazdi bahawa dia tidak perlu melakukan hal yang kelihatan agak melecehkan itu.
(Bersambung) #BSS
~~~
Kedua-dua kes di atas adalah hanya di antara contoh-contoh kecil yang mewakili pelbagai lagi perbuatan-perbuatan yang jelas ianya merupakan kesalahan.
Namun begitu, kerana setelah berpuluh malah mungkin beratus atau beribu kali dilakukan tanpa ada sebarang halangan apa lagi hukuman, maka ia dianggap.. 'Ah, buat je la. Semua orang buat kot! Takde siapa marah pun!'
Ditolak dahulu ke tepi persoalan relevan atau tidak peraturan itu. Yang pasti, kesalahan-kesalahan ini telah tetap, & hukumannya juga berat. Maka, apa yang salah tetap salah, dan hukumannya tetap akan berlaku jika TERTANGKAP.. Kan?
Lalu, jika benar-benar difikirkan kembali, adakah walau dengan sebanyak sepuluh, atau seratus, atau seribu kali kita melakukan kesalahan itu tanpa tertangkap, menjadikan kebarangkalian kita tertangkap itu KOSONG?
Tidak sama sekali! Walau mungkin peratusan kebarangkalian itu memiliki banyak titik perpuluhan, seperti 0.001; ianya tetap mustahil mencapai kebarangkalian 0. #BSS
Sehinggalah kita memilih untuk patuh pada peraturan tersebut, barulah kebarangkalian dia tertangkap lalu dihukum menjadi kosong.
Marli patuh dengan tidak melanggar lampu merah, di mana tidaklah penantian beberapa minit membawa kepada kematian. Fazdi juga patuh dengan kekal mempamerkan kad matriknya, di mana ianya tidaklah menjadikan beban tanggungannya bertambah sehingga 5kg.
Semudah itu, menjadikan kebarangkaliannya 0. Itulah yang asal dan diyakini. Adapun jika ditakdirkan dia terlupa, dikhianati dan sebagainya sehingga tertangkap walaupun telah konsisten patuh pada peraturan, ia bukan fokus nota ini. #BSS
Perkara yang sama berlaku di dalam urusan agama di kehidupan yang diyakini ianya sementara ini. Telah jelas digariskan apa yang wajib dilaksanakan dan apa yang dilarang dari sengaja melakukannya. Sama ada dari sudut ibadah atau muamalah.
Tidak sedikit yang bermain 'matematik' bersama Tuhannya kerana dia telah berulang kali melanggar peraturan-peraturanNya, tapi dia merasakan dirinya tak 'tertangkap', kerana tiada apa-apa hukuman yang berlaku.
Saban hari dia melakukannya, tiada petir yang menyambarnya, tiada pohon tumbang menghempapnya; malah lebih menarik lagi, dia mula merasakan nikmat 'ketenangan' melakukan kesalahan-kesalahan itu. #BSS
Sekali lagi, kita renungkan, adakah dengan berulang kali kita melakukan kesalahan berat tersebut tanpa tertangkap dan tidak berlakunya hukuman itu merupakan tanda kebarangkalian kita tertangkap dan dihukum itu adalah KOSONG?
Malah kita meyakini Allah yang Maha Melihat itu dengan jelas nampak kesalahan-kesalahan yang dilakukan dengan sengaja tersebut, menjadikan hakikat kemungkinan tertangkap adalah 100% berbanding lemahnya sistem peraturan ciptaan manusia yang menyebabkan adanya kesalahan yang tidak tertangkap.
Jika kita yakin kesalahan-kesalahan fatal itu memang sekian lama telah direkod. Kita memang sentiasa 'tertangkap' pada setiap kesalahan yang dilakukan. Berapa pula kebarangkalian kita pasti akan dihukum? Berapa pula kebarangkaliannya kita dihukum di dunia dan berapa pula kebarangkaliannya kita dihukum secara kekal di akhirat? Wal 'iya dzu billah. #BSS
Barangkali ada yang beralasan: 'Allah kan Maha Pengampun, kita mesti yakin Allah ampunkan.' Tapi, jangan dilupa juga Allah memiliki nama al-Muntaqim (المنتقم) yang merujuk kepada Yang Maha Membalas bagi setiap kesalahan yang sengaja dilakukan.
Layakkah kita berterusan bergantung harap hanya kepada keampunanNya tanpa usaha menjauhi laranganNya?
Oleh kerana itu, khususnya dalam isu melanggar peraturan, Islam meletakkan ketetapan larangan mutlak dari melakukannya, berbanding ketetapan perlaksanaan kewajiban yang diberi kelonggaran pada kadar kemampuan setiap insan.
Pesan baginda Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam,
فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ،
"Maka sekiranya aku telah larang kalian dari sesuatu, maka jauhilah ianya (secara mutlak)..
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
..dan sekiranya aku telah perintahkan kalian dengan sesuatu arahan, maka laksanakanlah ia mengikut apa (kadar) kemampuanmu!"
[HR al-Bukhari & Muslim] #BSS
Oleh kerana itu, apa yang dilarang (secara mutlak, yang membawa kepada dosa besar jika dilakukan dengan sengaja) hendaklah dijauhi tanpa adanya persoalan usaha pemeringkatan, menunggu hidayah petunjuk, atau apapun alasan lain bagi setiap mukallaf yang telah jelas dan memahami hakikat ketetapan agama ini dalam kehidupannya.
Sambungan dari kes A dan kes B juga sebenarnya tidak jauh dari pengalaman setiap kita dalam kehidupan.
Marli pada suatu hari melaksanakan rutinnya melanggar lampu merah sambil di hadapannya telah menanti seorang jejaka segak berseragam lengkap terus memanggilnya ke tepi. Dia hanya mampu meng'Aduh!' di dalam hatinya memikirkan sejumlah wang yang bakal hangus di pertengahan bulan.
Demikian juga Fazdi pada suatu tengah hari, dia santai keluar dari kelas menuju ke kantin, terdengar suara mesra memanggil 'Dik, sini jap. Mana kad matrik?'. Peluh dingin mengalir di dahinya saat senyuman sinis dari Mak Gad dilemparkan dengan penuh kasih sayang kepadanya. Andai dibuat rayuan pun, jumlah saman itu hakikatnya boleh dibuat belanja makan selama 2 hari.
Itu rona kehidupan di dunia. Penyesalannya masih boleh menjadi titik pengajaran agar ia tidak diulangi. Adapun di akhirat, penyesalannya adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan perasaannya kerana ia tidak berpenghujung. #BSS
Benar. Kita bukan tupai, malah nilai tanggungjawab insan itu jauh lebih berat dan utama yang tak mungkin dapat dibandingkan dengan si tupai.
Tapi perumpamaan yang sekian lama disuntik dalam nilai kehidupan kita itu sangat dipandang remeh, diabaikan. Bagaikan tiada nilai.
Masih ramai yang lebih rela kekal bermain dengan nasib; dari mengambil langkah mudah, kekal dalam usaha menjauhi larangan dan mengKOSONGkan kebarangkalian.
Persoalan demi persoalan masih banyak boleh ditimbulkan, mencabar rasional di bahagian ini dan itu. Masa tetap berjalan. Kematian tetap kan datang. Kehidupan seterusnya tetap kan menjelma. Keputusan tetap di tangan kita.
Dosa tetap dosa. Andai dah dilarang.. Tinggalkan! Hakikatnya.. kita mampu!
__
#BroSyariefShares
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً

Comments
Post a Comment