Minta Ditenangkan Hati Dengan Apa?




#NotaBroSyarief

Tibanya hari kemenangan setelah sebulan di medan latihan, bukanlah lesen untuk kita berterusan santai bergembira, dan ia bukanlah satu jaminan Allah tidak akan terus menguji kita.

Malah apa yang berlaku di sekeliling kita mengatakan sebaliknya.

Ada yang diuji dengan perbalahan keluarga ketika saling menziarahi. Ada yang kehilangan ahli keluarga dalam perjalanan pergi atau pulang dari kampung. Ada yang terpaksa mengikat perut kerana tiada baki di dalam akaun untuk menampung belanja harian.

Ini semua menimbulkan kegusaran dan tekanan, walaupun ianya tersembunyi di sebalik senyuman wajah nan ceria. Di sana sini ramai yang mula bertanyakan apa doa untuk menenangkan hati.

Maka ramai yang berkongsi doa berikut yang diajar oleh baginda Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ،

ALLAHUMMA INNI 'ABDUKA, IBNU 'ABDIKA, IBNU AMATIKA, NAASHIYATI BIYADIKA, MAADHIN FIYYA HUKMUKA, 'ADLUN FIYYA QADHAAUK

"Ya Allah.. sesungguhnya aku ini adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu (Adam), anak kepada hamba-Mu (Hawa).. Ubun-ubunku di tangan-Mu! Hukum-Mu padaku telah berlaku! Sungguh adil padaku segala ketetapan-Mu!"


أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ،

AS'ALUKA BIKULLI ISMIN HUWA LAKA, SAMMAYTU BIHI NAFSAKA, AW ANZALTAHU FI KITAABIKA, AW 'ALLAMTAHU AHADAN MIN KHALQIKA, AW ISTA'TSARTA BIHI FI 'ILMI AL-GHAYBI 'INDAKA

"Aku memohon kepada-Mu.. dengan setiap nama yang Engkau miliki, (yang) Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau (yang) telah Engkau turunkannya di dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan setiap dari ciptaanMu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib di sisiMu.."


أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ

AN TAJ'ALA AL-QURAN RABI'A QALBI, WA NUURA SHADRIY, WA JALA'A HUZNIY, WA ZAHAABA HAMMIY

"(Aku memohon kepada-Mu) Agar Engkau menjadikan al-Quran itu penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghilang kesedihanku & pelenyap kerisauanku!"

[HR Ahmad, Ibn Hibban, dll. Ahmad Shakir, al-Albani: Sahih]

Ramai yang membacanya dan sedikit sebanyak ianya membantu menenangkan rasa gundah dan gusar. #AlhamdulilLah

Namun begitu, perhatian yang utama hendaklah juga diberikan pada konteks asal permintaan di dalam lafaz doa yang ditunjukkan.

Bermula dari lafaz أَسْأَلُكَ yang bermaksud “Aku memohon kepada-Mu..” sehinggalah ke bahagian yang sangat penting di dalam doa ini iaitu

أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ

“..agar Engkau menjadikan al-Quran itu penenang hatiku, cahaya di dadaku & pelenyap kerisauanku!”

Jelas mesej utama doa ini tersusun pada ringkasan permintaan berikut, iaitu:

“Aku memohon kepada-Mu, agar Engkau jadikan al-Quran itu ubat bagi masalah hatiku ini!”

Maka, punca utama doa ini diajarkan adalah agar kita kembali kepada sumber utama yang akan mengubati hati kita.. iaitu AL-QURAN!

Agak mengelirukan jika sesudah membaca doa ini, ada yang beralih kepada muzik, atau mencari kawan berbicara, atau keluar membawa diri, atau mencari apa sahaja yang disangkakan sebagai sumber ketenangan lain yang diutamakan selain dari al-Quran.

Bacalah al-Quran! Renungkanlah!
__
#BroSyariefShares
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً

Comments