KEMBARA BAHASA & PENGORBANANNYA
#NotaBroSyarief
Mungkin sebahagian mengetahui dan sebahagian lagi mungkin baru tahu bagaimana latar belakang saya dalam Bahasa Inggeris (BI) & Bahasa Arab (BA).
Ringkasnya, pertama kali saya menjejakkan kaki ke UIA, hanya membawa bekal BI yang sangat lemah, dan tiada asas langsung dalam BA.
Namun begitu, peluang yang Allah berikan untuk tiba di Taman Ilmu & Budi tidak dibiarkan begitu sahaja, saya pilih untuk berusaha menguasai kedua-dua bahasa ini. #BSS
Objektifnya jelas: 'I must graduate with English & Arabic in my hand!'
Dua tahun di UIA PJ memadai sebagai asas bagi saya untuk melancarkan komunikasi dalam BI, saya ambil kesempatan untuk banyakkan berinteraksi dengan pelajar antarabangsa yang sangat sedikit jumlah mereka di UIA PJ.
Adapun BA, kerana bidang saya pada waktu itu di aliran Sains, maka saya hanya berpeluang mempelajari Bahasa Arab di peringkat 'Beginner' sahaja. Sangat mengecewakan bagi saya, tidak bagi segelintir kawan-kawan saya yang mempersoalkan: 'Apa kaitan BA dengan bidang aku?'
Tiba di Gombak, hasil latihan dan usaha menambah baik kualiti BI di PJ, saya teruskan dengan terlibat dengan lebih banyak aktiviti yang memaksa saya berkomunikasi dalam BI, terutama sekali ketika menjadi Fasilitator Study Circle dan Tutor dalam beberapa subjek. #BSS
Sehinggalah saya berpeluang menjadi Emcee dalam beberapa majlis rasmi, dan juga diberi ruang untuk menyampaikan sesi-sesi perkongsian di dalam BI di surau-surah mahallah, hatta di masjid.
Bagi saya, untuk BI, objektif saya tercapai lebih awal. Hanya tinggal usaha berterusan mempraktikkan dan menambah baik kualiti.
Adapun BA, peluang untuk mendalaminya secara rasmi di kampus Gombak agak kabur, malah tak tergambarkan asalnya bagaimana nak belajar BA dalam keadaan ianya bukan lagi dalam 'Study Plan' untuk bidang saya. #BSS
Tetapi, hasil dari rasa NAK yang sangat kuat, bertanya di sana-sini, Allah bukakan satu demi satu jalan untuk menuju ke arah mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Bermula dengan berkenalan dengan sahabat-sahabat dari timur tengah, sama ada Jordan, Syria, Saudi, Somalia; saya nyatakan hasrat saya mempelajari BA, mereka tanpa banyak songeh berkomunikasi dengan saya dalam BA tanpa saya memahami apa yang mereka bicarakan.
Ditambah pula dengan banyaknya majlis ilmu. Tetapi bukan sebarang majlis ilmu. Majlis ilmu yang mana penyampainya sering menukilkan ayat-ayat al-Quran, hadits-hadits, atau kata-kata ulama dan kemudian menterjemahkannya satu per satu. #BSS
Kemudian saya mula mengenal lebih banyak perkataan di dalam BA. Saya memberanikan diri menjawab, bertanya kepada kawan-kawan tadi, walaupun diketawakan kerana tersalah wazan, dhomir dan sebagainya, tetapi kemudiannya mereka akan bantu betulkan.
Nota-nota BA di UIA PJ saya simpan untuk rujuk kembali terutama jadual فعل، فعلا، فعلوا dan هو، هما، هم; untuk saya pastikan ia kekal dalam memori.
Masa berlalu, peluang demi peluang, halangan demi halangan, kesilapan demi kesilapan, semua dilalui tanpa kenal putus asa. #BSS
Sehinggalah diberi peluang untuk secara rasmi dan serius mendalami agama, masuk UIA, masuk kelas, dan saya melihat sendiri perkembangan mereka yang di sekeliling saya yang diberi peluang masuk ke UIA, bahasa mereka.. hmm.
Pensyarah bertanya soalan, dijawab sepatah.
Pembentangan dibuat dicampur-campurkan bahasa, walaupun bidangnya memang bidang bahasa tersebut.
Andai diminta pendapat, perkataan-perkataan yang disebut secara tergantung, tidak tersusun. Janji maksud sampai, barangkali itu fikirannya.
Bukan sekadar tahun pertama. Ke-dua. Ke-tiga. Malah tahun akhir sekalipun.
BI atau BA. Kualiti yang menyedihkan.
Lebih malang lagi, tidak sedikit menganggap ini biasa, kerana 'ramai yang macam aku'. #BSS
Kalau ditanyakan, 'Apa puncanya?'
Sang bangaupun melatah: "Ini semua salah SISTEM!". Kikislah perangai itu, kerana ubatnya susah ditelan jika dah berat membarah.
Pastinya tak semua. Di setiap kelas pasti ada yang dipuji guru. Bila diuji bacaan, jelas barisnya tanpa mematikan semua bunyi huruf terakhir.
Yang menjadi perhatian adalah yang mereka yang telah bertahun-tahun mengenal nahu, sorof, balaghah, dll; apabila buku dibaca, barisnya tidak jelas sebutan, malah susah memahami. #BSS
Satu jam lebih pensyarah membebel di dalam kelas, majoriti yang disebut tak difahami. Buku habis berconteng dengan terjemahan setiap kalimah dalam BI & BM.
Panjang mengeluhkan. Apa solusinya?
Kembalikan fokus kepada memperbaiki kemantapan BA. Korbankan majoriti masa hanya untuk paksa diri membaca, berbual, membuka kamus, mendengarkan rakaman-rakaman dalam BA, menyalin syair-syair malah kalam-kalam ulama.
Selain masa, tak sedikit juga wang yang habis untuk buku-buku, pelbagai kelas untuk dihadiri & di zaman teknologi ini, duit juga digunakan untuk data internet memuat turun pelbagai rakaman bacaan matan, syarahan kitab, dan pelbagai lagi bahan interaktif yang membantu pembelajaran BA.
Saya sendiri usahakan untuk hadir secara konsisten majlis ilmu dan kelas yang penuh berbahasa Arab, atau sebahagian beserta terjemahan, malah tidak sekali saya sendiri menawarkan diri untuk membacakan teks BA di dalam kelas atau majlis ilmu, supaya ditegur. #BSS
Tak cukup dengan itu, saya usahakan projek peribadi secara berterusan membuat terjemahan sendiri terhadap beberapa rujukan BA yang telah banyak diterjemahkan, kemudian membandingkan dengan terjemahan yang ada.
Saya deactivate Facebook atas dasar inisiatif peribadi untuk meningkatkan kadar fokus, dan saya gunakan platform yang lebih ringan seperti Twitter untuk berkongsi perkataan-perkataan baru dan terjemahan-terjemahan ringkas, dan di Channel Telegram #BroSyariefShares, saya kongsikan nota-nota terjemahan yang sempat saya buat.
Tidak syak lagi, peranan guru pastinya sangat mustahak dalam usaha menuntut ilmu. Tidak hanya seorang, malah puluhan yang sering saya jadikan rujukan untuk dilazimi, berjumpa, bertanya, minta diperiksa, ditegur, dan hanya dengan tunjuk ajar mereka, saya akan terus berusaha ke hadapan dalam memahami bahasa yang indah ini. #BSS
Kuncinya KEHENDAK & PENGORBANAN! Saya tak nampak kunci lain.
Leceh. Susah. Lama. Lambat. Perlahan. Boring. Penat. Banyak silap. Sering ditegur. Rasa hina. Banyak perlu dibaca, dihafal, ditulis, didengar.
Itu semua jalan yang saya perlu lalu. Saya masih yakin saya di peringkat 'pemula'. Kerana masih terlalu banyak yang saya baca dan dengar, saya tak faham. Selagi itu, saya tak berhenti. Itu doa saya, itu usaha saya. #BSS
Saya tak percayakan 'Bakat terpendam'. Saya cuma tahu 'Kalau nak, cuba usaha latih.. ulang lagi dan lagi dan lagi dan lagi.. tanpa henti, tanpa putus asa.'
Perbaikilah sikap kita berinteraksi dengan ilmu, apalagi ilmu agama. Perbaikilah kesungguhan kita pada menguasai alat yang utama dalam menggapai ilmu, yakni BAHASA.
Saya hanya mampu berkongsi. Saya tidak bertujuan lain kecuali ingin menyampaikan hasrat melihat lebih ramai berusaha menguasai dan memperbaiki kualiti BAHASAnya. #BSS
Jangan mimpi, tunggu sebarang keajaiban yang tak akan pernah datang. Tolong diri sendiri dulu, dengan keinginan dan keazaman yang kuat; nescaya Allah akan bantu dan menunjukkan laluannya.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares
Comments
Post a Comment