NAMA TIMANGAN KUMPULAN SURAH-SURAH TERTENTU DALAM AL-QURAN
#NotaBroSyarief
Menjadi perbincangan di kalangan para ulama adakah nama-nama surah di dalam al-Quran itu sifatnya Tauqifiy dari wahyu atau ianya Ijtihad dari para sahabat, atau sebahagiannya wahyu dan sebahagiannya Ijtihad.
Tidak sedikit juga keadaan di mana Nabi menisbahkan sesuatu surah itu dengan perkataan pertama di dalam surah tersebut seperti Baraah (merujuk kepada surah at-Taubah) atau TabaarakalLazi (merujuk kepada surah al-Mulk).
Apapun keadaannya, yang menarik dalam nota ini adalah di mana ada sebahagian kumpulan surah-surah di dalam al-Quran mempunyai nama timangan tertentu.
Antara nama-nama tersebut:
1. az-Zahrawaan "الزَّهْرَاوَانِ"
az-Zahrawani boleh diterjemahkan sebagai Dua (surah) yang terang benderang, dan ia merujuk kepada surah al-Baqarah dan surah Aali 'Imran. Surah ke-2 & ke-3.
Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam bersabda:
اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا
Bacalah az-Zahrawaan, iaitu: al-Baqarah dan Aali-'Imran. Kerana kedua-duanya akan datang di hari kiamat nanti, seolah-olah bagaikan dua awan, atau dua lindungan, atau dua kelompok burung yang berbaris untuk berhujah bagi pihak orang yang membaca kedua-dua surah tersebut
[HR Muslim]
2. al-Qarinataani "الْقَرِينَتَانِ"
al-Qarinataani bermaksud 'Dua (surah) yang rapat dan nampak serupa' dan ia merujuk kepada surah al-Anfaal dan surah at-Taubah. Surah ke 8 dan ke-9.
Dinukilkan bahawa 'Utsman radhiyalLaahu 'anhu menyebutkan,
وَكَانَتَا تُدْعَيَانِ الْقَرِينَتَيْنِ
Dahulu (di zaman Nabi), (Kedua2 surah al-Anfaal dan Baraah (ie. at-Taubah) dipanggil 'al-Qarinatayni'
[Tafsir al-Qurtubi]
3. al-Hawaamim "الْحَوَامِيمُ"
al-Hawaamim pula merujuk kepada semua surah-surah yang bermula dengan bacaan - حم - yang dipanggil Huruf al-Muqotto'ah (حروف المقطعة) atau 'Disjointed letters'.
Hanya terdapat 7 surah yang bermula dengan - حم -, iaitu:
(1) Surah al-Mukmin (atau Ghafir),
(2) Surah Fussilat,
(3) Surah asy-Syura,
(4) Surah az-Zukhruf,
(5) Surah ad-Dukhan,
(6) Surah al-Jaatsiyah, dan
(7) Surah al-Ahqaaf.
Surah-surah ini tersusun bermula dari surah ke-40 sehingga surah ke-46.
Dinukilkan dari Ibn 'Abbas radhiyalLaahu 'anhu,
الْحَوَامِيمُ دِيبَاجُ الْقُرْآنِ
al-Hawamim adalah rompi sutera bagi al-Quran
[al-Itqan fi 'Ulum al-Quran]
4. at-Thowaasin "الطَّوَاسِينِ"
at-Thowaasin pula merujuk kepada surah-surah yang bermula dengan huruf-huruf - طس - iaitu hanya tiga surah:
(1) asy-Syu'ara
(2) an-Naml
(3) al-Qasas
Surah ke-26 hingga ke surah ke-28.
Ibn Marduwayh meriwayatkan dari Anas radhiyalLaahu 'anhu: Aku pernah mendengar RasululLah sallalLaahu 'alaihi wa sallam bersabda,
وَأَعْطَانِي مَا بَيْنَ الطَّوَاسِينِ إِلَى الْحَوَامِيمِ مَكَانَ الزَّبُورِ
Dan Allah telah mengurniakan surah-surah di antara at-Thowaasin dan al-Hawaamim menggantikan tempat Zabur
[Tafsir Fathul Qadir]
5. al-Musabbihaat "الْمُسَبِّحَاتِ"
al-Musabbihaat pula merujuk kepada surah-surah yang bermula dengan apa-apa perkataan yang kata akarnya dari perkataan - سبح - sama ada 'Subhaana', atau 'Sabbaha', atau 'Yusabbihu'.
Di bawah nama ini, terdapat 7 surah:
(1) Al-Isra (Surah ke-17),
(2) al-Hadid (Surah ke-57),
(3) al-Hashr (Surah ke-59),
(4) as-Saff (Surah ke-61),
(5) al-Jumu'ah (Surah ke-62),
(6) at-Taghabun (Surah ke-64), dan
(7) Al-A'la (Surah ke-87)
'Irbadh ibn Sariyyah menyebutkan,
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقْرَأُ الْمُسَبِّحَاتِ قَبْلَ أَنْ يَرْقُدَ وَيَقُولُ
Dahulu Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam selalu membaca al-Musabbihaat sebelum tidur, dan dia menyebutkan:
إِنَّ فِيهِنَّ آيَةً خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ آيَةٍ
Sungguh, di antara ayat-ayat di dalam surah-surah tersebut, ada satu ayah yang lebih baik dari seribu ayat
[HR at-Tirmizi. Hadits Hasan Gharib]
6. al-Mu'awwizatayn "الْمُعَوِّذَتَيْنِ"
al-Mu'awwizatayn bermaksud dua surah yang melindungi. Ia merujuk kepada dua surah yang bermula dengan - قُلْ أَعُوذُ - iaitu surah al-Falaq (Surah ke-113) dan an-Naas (Surah ke-114)
Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam bersabda,
أُنْزِلَ - أَوْ أُنْزِلَتْ - عَلَىَّ آيَاتٌ لَمْ يُرَ مِثْلُهُنَّ قَطُّ الْمُعَوِّذَتَيْنِ
Diturunkan kepadaku ayat-ayat yang tak pernah terlihat seumpamanya satupun, iaitu al-Mu'awwizatayn
[HR Muslim]
Dalam riwayat lain, dari Abu Sa'id radhiyalLaahu 'anhu, dia menyebutkan,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَتَعَوَّذُ مِنَ الْجَانِّ وَعَيْنِ الإِنْسَانِ حَتَّى نَزَلَتِ الْمُعَوِّذَتَانِ فَلَمَّا نَزَلَتَا أَخَذَ بِهِمَا وَتَرَكَ مَا سِوَاهُمَا
Dahulu RasululLah sallalLaahu 'alaihi wa sallam sering memohon perlindungan dari gangguan Jin dan sihir 'ain, sehinggalah turunnya al-Mu'awwizataan. Apabila turun kedua-dua surah ini, dia berterusan membacanya (untuk memohon perlindungan), dan meninggalkan yang selainnya.
[HR at-Tirmizi: Hadits Hasan Gharib]
walLaahu a'lam
#BroSyariefShares

MasyaAllah. Ilmu baru. Baru tahu ni ;)
ReplyDelete