Aku Tengah Sabar La Ni!?


SABAR : DARI AWAL SAMPAI AKHIR

Di dalam Riyadhus Solihin, al-Imam an-Nawawi (w.676H) rahimahulLah meletakkan satu bab yang dinamakan (باب الصبر) Bab Kesabaran. 

Di dalamnya terdapat lebih dari 20 hadits yang juga memerlukan kesabaran untuk membaca keseluruhan hadits-hadits tersebut. 

Salah satu hadits yang disertakan oleh al-Imam an-Nawawi di bawah bab ini, menceritakan apa yang berlaku kepada baginda Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam. 

Baginda sallalLaahu 'alaihi wa sallam melewati seorang wanita yang sedang menangis di sisi kubur anaknya yang telah meninggal. 

Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam menghampiri wanita itu lalu menyebutkan

اتّقِي اللهَ وَاصْبِري

"Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah!"

Wanita itu bertindak emosi, lalu memarahi baginda sallalLaahu 'alaihi wa sallam, dalam keadaan wanita itu tidak mengenali bahawa lelaki yang diherdiknya itu adalah RasululLah sallalLaahu 'alaihi wa sallam

Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam terus pergi berlalu. Salah seorang yang menyaksikan apa yang berlaku datang memberitahu wanita tersebut bahawa lelaki tadi adalah RasululLah sallalLaahu 'alaihi wa sallam

Wanita itu terus meluru ke arah rumah baginda sallalLaahu 'alaihi wa sallam dan menyatakan dengan nada menyesal bahawa dia tidak mengecam baginda sallalLaahu 'alaihi wa sallam

Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam pun menyebutkan, 

إنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُولى

"Sesungguhnya kesabaran itu (dinilai) dari pukulan yang pertama!"

[HR al-Bukhari & Muslim]

Sebuah lagi hadits adalah perkongsian Nabi sallalLaahu 'alaihi tentang kisah Ashab al-Ukhdud. 

Bermula dengan perjalanan si Ghulam menuntut ilmu sihir lalu bertemu dengan hakikat keimanan, sehingga akhirnya bertemu dengan sang Raja yang mengaku tuhan yang berusaha untuk membunuhnya. 

Usaha melemparkannya dari gunung tidak berjaya. Usaha melemaskannya di tengah lautan tidak berjaya. Sehinggalah si Ghulam dengan kebijaksanaannya mencadangkan sendiri bagaimana dia boleh dibunuh. 

Sang raja dalam keadaan keliru terus akur tanpa banyak soal. Dikumpulkan rakyat jelata. Disalib si Ghulam pada sebatang pohon. Diambil anak panah dari beg si Ghulam. 

Pesan si Ghulam supaya membacakan sesuatu sebelum melepaskan anak panah itu ke arahnya. Lalu sang Raja pun membacakan:

بِسمِ اللهِ ربِّ الغُلامِ

"Dengan nama Allah, tuhan si Ghulam!"

Anak panah dilepaskan, si Ghulam pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sang Raja lega kerana akhirnya berjaya membunuhnya

Tetapi, sesuatu yang tak disangkakan telah berlaku. Rakyat jelata yang menyaksikan peristiwa itu semuanya menyebutkan,

آمَنَّا بِرَبِّ الغُلامِ

"Kami beriman dengan (Allah) Tuhan si Ghulam"

Ternyata pengorbanan si Ghulam menjadi hadiah menakutkan bagi sang Raja, di mana seluruh rakyatnya kini beriman kepada Raja bagi segala Raja, bukan lagi kepadanya

Lalu diarahkan parit panjang (al-Ukhdud) digali dan dinyalakan api di dalamnya. Lalu sang Raja mengarahkan supaya kembali bertuhankan dia atau terjunlah ke dalam nyalaan api

Maka, seluruh rakyat jelata pun melemparkan diri mereka ke dalam api, demi mempertahankan iman dari kembali bertuhankan sang Raja yang zalim

Sehinggalah tiba giliran seorang ibu dengan bayinya masih kecil. Dia terhenti di pinggir parit, timbul keraguan kerana kasihankan anaknya

Lalu, di saat-saat akhir itu, Allah kurniakan keajaiban sehingga sang anak berbicara kepada ibunya,  

يَا أُمهْ اصْبِري فَإِنَّكِ عَلَى الحَقِّ

"Wahai bonda, bersabarlah. Sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran!"

Ya. Di saat-saat akhir. Ketika tiada jalan lain, kecuali yang terlihat hanya kematian. Allah mengurniakan kemampuan berkata kepada bayi kecil dengan menyebutkan pesanan supaya berSABAR

[HR Muslim]

Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam berpesan bahawa sabar itu dari pukulan pertama

Baginda kongsikan pula kisah Ashab al-Ukhdud yang di saat-saat akhirnya, anak kecil berpesan supaya sabar

Ternyata kesabaran itu dinilai dari awal sehingga akhir

Apabila kita menyedari akan musibah yang melanda, penilaian sabar terus bermula

Sabar membuka ruang ketenangan dan kecerdasan, untuk berfikir dan memohon agar diberi kekuatan dan jalan keluar oleh Allah

Berterusan bekal sabar digarap sehingga ke hujungnya, walaupun titik akhirnya adalah tercabutnya nyawa dari jasad

Demikian nilai sabar sehingga Allah subhaanahu wa ta'ala menyebutkan,

 إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

"Sungguh, dicukupkan bagi orang-orang yang bersabar itu, ganjaran mereka tanpa sebarang (had) pengiraan"

[az-Zumar(39):10]

Jika ganjaran bagi kesabaran itu tiada had, bagaimana kita boleh mengatakan sabar itu ada hadnya?

#BroSyariefShares

Comments