Jangan Bosan Membosankan



JANGAN MUDAH BOSAN DAN MEMBOSANKAN 

Dilihat dari beberapa sudut positif, fitrah insan cintakan ilmu semakin mekar menyebar. Dilihat usaha-usaha bercambah subur, agar ilmu tersebar dan lebih luas manfaatnya dirasakan, serta diamalkan. 

Tetapi di dalam usaha menyampaikan dan menerima perkongsian ilmu, ia tak lepas dari perlunya kepada memenuhi dan menyesuaikan dengan hakikat insan yang mudah letih dan bosan. 

Sebagaimana ianya menjadi aspek yang diperhatikan oleh Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat radhiyalLaahu ‘anhum ajma’in. 

عَنْ أَبِي وَائِلٍ، قَالَ كَانَ عَبْدُ اللَّهِ يُذَكِّرُ النَّاسَ فِي كُلِّ خَمِيسٍ، 

Dari Abu Wa'il, dia berkata, 'Dahulu 'Abdullah (Ibn Mas'ud) memberi peringatan kepada manusia setiap Khamis.' 

فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ لَوَدِدْتُ أَنَّكَ ذَكَّرْتَنَا كُلَّ يَوْمٍ. 

Maka, seorang lelaki berkata kepadanya, 'Wahai Abu 'Abdir Rahman! Sungguh aku teringin untuk engkau memberi peringatan kepada kami setiap hari.' 

قَالَ أَمَا إِنَّهُ يَمْنَعُنِي مِنْ ذَلِكَ أَنِّي أَكْرَهُ أَنْ أُمِلَّكُمْ، 

Dia (Ibn Mas'ud) pun membalas, 'Adapun yang menghalang aku dari melakukannya, adalah kerana sungguh aku benci untuk membuat kalian BOSAN.'

وَإِنِّي أَتَخَوَّلُكُمْ بِالْمَوْعِظَةِ كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَتَخَوَّلُنَا بِهَا، مَخَافَةَ السَّآمَةِ عَلَيْنَا.

'Dan sungguh aku ingin mengatur (perkongsian bersama) kalian dengan peringatan, sebagaimana Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam dahulunya mengatur perkongsiannya bersama kami, kerana bimbang KEBOSANAN menimpa kami’

[HR al-Bukhari No. 70. Bab Orang Yang Menentukan Bagi Ahli `Ilmu Hari-Hari Tertentu.]

Bagi yang ingin berkongsi, usahakan agar sabar dalam penyampaian agar tidak tergesa-gesa dan tidak membosankan. Sekadar beberapa kali seminggu atau sebulan, dengan mendapat persetujuan. 

Dan diusahakan gaya bahasa dan intonasi yang pelbagai. Termasuk interaksi bersama para pendengar. Ia bukan syarat wajib, tetapi meningkatkan prestasi, agar tidak kekal ‘syok-sendiri’. 

Bagi yang menerima perkongsian, usahakan agar tidak juga terburu-buru dan tidak mudah jemu dalam pencarian. 

Masa diurus dengan baik. Hadir dengan konsisten. Tanpa mengharap segalanya akan sempurna. Mencatat dengan baik setiap butir pengisian. 

Berinteraksi dengan bertanyakan soalan tanpa perlu segan ataupun malu. 

Dan menutup sebarang aib atau kelemahan yang berkonsi, kerana dia juga manusia biasa. 

#BroSyariefShares

Comments