Bahaya 'Print-Screen' Cara Salah



'PRINT-SCREEN' CARA SALAH, MENJADI JELMAAN AN-NAMIMAH 

Kemudahan 'Print-Screen' dengan sendirinya mempunyai kebaikan, di tangan mereka yang mencintakan kebaikan, untuk membantu mengingat, menyimpan dokumen dan pelbagai lagi tujuan yang memudahkan pelbagai urusan dalam kehidupan. 

Tapi, apabila ia digunakan dengan panduan hati yang salah, cara dan tujuan yang salah, ia menjadi racun yang merosakkan keharmonian, meretak hubungan sesama insan. 

Perbualan yang asalnya sekadar gurauan, komunikasi antara pihak atasan, diskusi group tertutup dan sebagainya.. di'print-screen'. 

Kemudiannya disebarkan kepada pihak lain, yang akhirnya menimbulkan kerosakan-kerosakan yang lebih besar, terutama melibatkan hubungan sesama Muslim. 

Perbuatan ini disebut an-Namimah (النميمة), iaitu menyalin dan berkongsi kata-kata di antara dua pihak, yang kemudiannya merosakkan perhubungan mereka, menimbulkan permusuhan. 

Manakala mereka yang melakukannya dipanggil al-Nammam (النمام). Atau al-Qattat (القَتَّاتٌ). Pengadu domba. 

Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam dengan pendek dan ringkas menyebutkan: 

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

"Tidak masuk ke dalam Syurga, pengadu domba" 

[HR Muslim] 

Ringkas, tapi keras. Tidak masuk ke syurga. Bermakna, akan ke mana? (Wa'iyadzubilLah) 

Penyakit ini mungkin tanpa disedari berada dalam diri kita. Atau boleh jadi ia menjadi kunci jerangkap samar Iblis. 

Pada asalnya kita mungkin menyangka ia bertujuan untuk menceritakan kebenaran kepada si A, akan si B yang menyebut tentangnya. 

Ditunjuk hasil print-screen. Kemudiannya yang berlaku adalah permusuhan dan pergaduhan yang tak berkesudahan. 

Ibn Abdil Barr menukilkan dari Yahya ibn Abi Katsir, yang menyebutkan: 

يُفْسِدُ النَّمَّامُ وَالْكَذَّابُ فِي سَاعَةٍ مَا لَا يُفْسِدُ السَّاحِرُ فِي سَنَةٍ 

"Pengadu-domba dan pembohong mampu merosakkan (hubungan sesama manusia) dalam satu jam, yang mana tukang sihir tak mampu rosakkan dalam satu tahun" 

[Fashlu al-Khitab fi az-Zuhd wa al-Raqaiq wa al-Adab] 

Ukhuwah sesama Muslim adalah anugerah nikmat yang juga amanah berat, sampai dipesan agar mengembalikan hubungan di antara yang sedang berselisih. 

Namun perbuatan Namimah ini menjadi punca kepada permusuhan, yang akhirnya pergi kepada titik melampau, hingga menumpahkan darah. 

Jelas as-Safaarini: 

وَسَبَبُ وُقُوعِ النَّاسِ فِي سَفْكِ الدِّمَاءِ وَإِرَاقَتِهَا بِغَيْرِ حَقِّ الْعَدَاوَةُ ، وَمُقَدِّمَتُهَا النَّمِيمَةُ ، فَإِنَّهَا سَبَبُ الْعَدَاوَةِ

"Dan sebab manusia terjebak dalam pertumpahan darah dan mencemarnya tanpa haq, (adalah kerana) permusuhan. Dan permulaannya adalah MENGADU DOMBA, ia adalah punca timbulnya permusuhan." 

[Ghiza' al-Albab fi Syarh Manzumah al-Adab] 

Berhati-hatilah menekan butang 'Print-Screen'. 

#BroSyariefShares 

Comments