'ULAMA ITU SINONIMNYA ILMU
Tidak ada ‘alim ‘ulama yang ingin dikenali dari tampang wajah dan rupa fizikal mereka.
'Ulama mahukan kita mengenal ILMU yang mereka berusaha untuk mencarinya, menyampaikannya dan menunjukkan contoh pengamalannya.
Supaya kita pula memahami ILMU, mengamalkannya dalam kehidupan di dunia dan menyampaikannya pula kepada generasi seterusnya.
Benar, Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam pernah berpesan bahawa 'Ulama adalah Pewaris Nabi.
Tapi kenapa hadits itu hanya dibaca sebahagian kecilnya sahaja, tidak dibaca dari awal sehingga selesai.
Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam menyebutkan:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا
Barangsiapa yang meneroka satu jalan, padanya dia mencari ilmu,
سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ
Allah akan tunjukkan baginya satu jalan daripada jalan-jalan menuju syurga.
وَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ
Dan para malaikat akan membentangkan sayap-sayap mereka kerana redha kepada penuntut ilmu.
وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِى السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِى الأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِى جَوْفِ الْمَاءِ
Dan sungguh bagi orang yang berilmu itu, akan diminta keampunan baginya, (oleh) mereka yang di langit dan di bumi, sehinggakan ikan-ikan di lautan (turut memohonkan keampunan).
وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ
Dan sungguh, kelebihan orang yang berilmu berbanding orang yang sekadar beribadah, adalah bagaikan kelebihan bulan purnama berbanding lautan bintang-bintang.
وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Dan sungguh, para 'Ulama itu ada pewaris para Nabi, dan para Nabi tidaklah mewariskan Dinar atau Dirham, tetapi mereka mewariskan ILMU. Siapa yang mengambilnya, sungguh dia telah mengambil bahagian yang hebat nilainya.
[HR Abu Dawud, at-Tirmizi, dll. Ibn Hibban: Sahih]
Lihatlah fokus nilai 'Ulama adalah pada ‘ILMU, dan tidaklah mereka tiba di peringkat itu kecuali mereka juga dahulunya bermula dari 'kosong', berusaha mencari, meneroka dan menuntut ILMU, sebagai penuntut ILMU.
Dan apakah yang dimaksudkan dengan ILMU?
Dinukilkan dari azZahabi & Ibnul Qayyim,
العلم قال الله قال رسوله
ILMU itu adalah firman Allah (di dalam al-Quran) & sabda Rasul-Nya (di dalam al-Hadits)
[Qasidatun-Nuniyyah]

Comments
Post a Comment