Indah Berguru Tanpa Keliru



01. Guru kita yang Maha Mengetahui, Allah 'azza wa jalla, di dalam al-Quran menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh mereka yang inginkan kepastian dan menyemak akan kebenaran. 

02. Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam, juga guru yang diutus olehNya di dalam banyak hadits yang sahih menjawab persoalan-persoalan oleh para sahabat yang banyak berfikir dan ingin memahami. 

03. Para 'Alim di zaman awal merakamkan pelbagai persoalan dijawab hasil dari rasa ingin tahu yang mendalam dari para penuntut ilmu yang ikhlas dan dengan adab. 

04. Dan menjadi satu keganjilan apabila tiba kemudiannya satu suasana di mana penuntut ilmu dilarang bertanya dan memeriksa, untuk mereka dapatkan kepastian dan keyakinan dalam kefahaman mereka beragama. 

05. Dikatakan semuanya ada dalam kitab. Dan bukan calang orang yang menulis kitab. Tak perlu periksa. Tak perlu tanya. Hanya perlu percaya sahaja, tanpa banyak cerita. 

06. Ibnul Jauzi tulis kitab, namanya al-Maudhu'at. Di dalamnya hadits-hadits palsu. Agar kita semua berhati-hati dari membohongi Nabi. Kan kitab tu? Bukan calang orang yang menulisnya tu? Tapi kalau tak diberitahu nama kitab dan apa tujuan kitab ditulis, bagaimana maklumat itu nak ditapis? Bagaimana ilmu itu dikenal dan dimanfaatkan? 

07. Tidak adanya guru, kecuali satu hari dia akan menjadi tua dan tak bermaya, kemudian kembali menghadap yang Esa. Dan tidak ada murid, yang bersungguh, kecuali dia akan kemudiannya menjadi sang guru, dan menyampaikan apa yang dipelajari dan difahami dari sang guru. 

08. Bayangkan jika sang guru yang sebelumnya melarang semak dan tanya, murid pun bulat-bulat menerima. Bila murid menjadi guru, diapun mengulang tradisi yang sama, melarang semak dan tanya. Akhirnya, ilmu dan agama ini tidak lagi dikenali mana sumber asalnya. Apa lagi jika ada tangan-tangan ghaib yang mengubah ini dan itu, semua akan ditelan tanpa banyak cerita. 

09. Allah dan RasulNya mengingatkan peri penting berpegang kepada alQuran dan asSunnah. Allah 'azza wa jalla pesan untuk PERIKSA apabila datang berita. Allah 'azza wa jalla pesan untuk BERTANYA kepada ahlinya. Nabi sallalLahu 'alaihi wa sallam pesan jangan sebar, tanpa semak. 

10. Bergurulah dengan sesiapapun, hanya tinggal perlu PERIKSA dan TANYA akan hakikat sumber keilmuannya, adakah Allah dan Rasul, atau selainnya. 

11. Berdoalah agar dipertemukan dengan guru-guru yang diiktiraf agama kerana ilmu dan amalnya, bukan kerana tampang dan imejnya. 

walLaahu a'lam

#BroSyariefShares

Comments