Pelajaran hebat ditunjukkan oleh Tsabit bin Qays seorang sahabat di kalangan Ansar yang sering mewakili kaumnya sebagai pengerusi, kerana suaranya yang kuat dan jelas.
Direkodkan oleh alBukhari dan Muslim ketika ayat alQuran turun memberi amaran keras:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian meninggikan suara kalian melebihi suara Nabi
وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ
Dan janganlah kalian berkata kepadanya dengan kuat dan keras sebagaimana kerasnya suara sebahagian kalian terhadap sebahagian yang lain
أَن تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ
(Bimbang) Nanti terhapus (pahala) amalan kalian, dan kali tidak merasakannya.
[alHujuraat(49):2]
Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam tidak berapa lama kemudian mendapati Tsabit bin Qays tidak kelihatan dan mula bertanyakan perihal beliau.
مَا شَأْنُ ثَابِتٍ أَشْتَكَى
'Apa perihal Tsabit? Dia sakit?'
Sa'd ibn 'Ubadah sebagai sahabat yang prihatin kepada sahabatnya yang lain menawarkan diri untuk memeriksa perihal Tsabit.
أَنَا أَعْلَمُ لَكَ عِلْمَهُ
'Aku akan (periksa dan) memberitahumu keadaannya.'
Sa'd tiba di rumah Tsabit dan mendapati beliau sedang duduk bermurung sambil kepalanya tunduk resah.
Sa'd bertanyakan kenapa beliau sedemikian rupa.
Tsabit menjawab dalam riwayat Muslim:
أُنْزِلَتْ هَذِهِ الآيَةُ وَلَقَدْ عَلِمْتُمْ أَنِّي مِنْ أَرْفَعِكُمْ صَوْتًا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَنَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ
'Ayat tersebut (yang di atas tadi) telah diwahyukan dan kalian tahu yang aku antara yang paling kuat suaranya melebihi suara Rasulullah sallalLaahu 'alaihi wa sallam, maka aku ini ahli neraka'
Dalam riwayat alBukhari pula, Tsabit menyatakan:
شَرٌّ كَانَ يَرْفَعُ صَوْتَهُ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ، وَهْوَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ
'Buruk (sungguh nasib Tsabit - menyebut hal dirinya sendiri -) Dia meninggikan suaranya melebihi suara Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam. Habislah segala amalannya. Dia telah menjadi ahli neraka.'
Mendengarkan jawapan Tsabit, Sa'd segera kembali kepada Rasulullah sallalLaahu 'alaihi wa sallam menceritakan apa yang didengarnya.
Lantas baginda sallalLaahu 'alaihi wa sallam menjawab:
بَلْ هُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ
'(Tidak sekali-kali) Malah beliau merupakan ahli syurga.'
Ayat Quran turun. Dia terasa dia yang kena. Akhirnya dia menerima berita gembira. Pengiktirafan istimewa dari Baginda.
Ayat di atas turun disebabkan berlakunya beberapa situasi yang melanggar adab dalam berkomunikasi bersama RasululLah sallalLaahu 'alaihi wa sallam, bukan khusus untuk Tsabit.
Tapi, kenapa dia yang terasa?
Lihat bagaimana reaksi para sahabat apabila berinteraksi dengan ayat-ayat alQuran yang diwahyukan Allah dan pesanan-pesanan Nabi sallalalLaahu 'alaihi wa sallam, mereka mendahulukan diri mereka sebagai subjek sasaran setiap peringatan dari Allah dan RasulNya.
Dan. Bukan orang lain.
Bila membaca peringatan dari alQuran dan Hadits. Bila diberi peringatan akan alQuran dan Hadits. Bila memberi dan menerima apa sahaja mesej kebenaran akan hakikat hidup ini dan kesilapan hasil kelemahan kita sebagai insan..
Dahulukan SAYA, sebelum MEREKA.
Merupakan satu penyakit yang perlu diubati apabila setiap peringatan yang kita baca dan dapati, kita terus terbayangkan menyampaikannya kepada si A dan si B, atau kelompok D dan kelompok E, dan lupa akan hakikat diri yang sebenarnya lebih jauh berhajatkan kepada peringatan dan muhasabah dari apa jua sudutpun.
Urusan agama ini mengutamakan SAYA, sebelum MEREKA, untuk diingatkan dan diperbaiki.
Semoga Allah mengembalikan kegemilangan peribadi yang mudah tersentuh dengan ayat-ayatNya dan teladan RasulNya.
Comments
Post a Comment