JUZ 1
Ayat 21 – 29 Surah al-Baqarah [Surah yang mengisahkan tentang penyembelihan seekor lembu dalam sejarah bangsa baginda Isrā'īl `alayhi al-salām – satu umat besar yang akan digantikan (khilāfah) dengan umat Muhammad ṣallalLāh `alayhi wa sallam] menceritakan tentang penciptaan seluruh manusia dan pelbagai nikmat yang Allah kurniakan yang sekiranya digunakan dengan baik akan diganjari dengan nikmat di syurga. Allah memberi petunjuk kebenaran di dalam al-Quran yang tidak dapat dibuktikan kesalahannya dan juga penciptaan seumpama nyamuk membolehkan manusia memperolehi ilmu kebenaran sekiranya mereka tidak keluar (fāsiq) dari jalan yang betul untuk memperolehinya atau merosakkan (fasad) dalam mematuhi aturannya.
Dalam ayat ke 28, manusia yang menolak ilmu kebenaran dipersoalkan bagaimanakah mereka sanggup menutup (kufur) pendengaran, pemerhatian dan pengertian mereka dari mengakui tentang Allah sedangkan Allah telah menghidupkan semua itu apabila Allah menghidupkan mereka. Allah mencipta setiap sesuatu di bumi untuk manusia supaya mereka dapat mengerti bukti kebenaran padanya. Mereka hendaklah mengetahui bahawa segala pengetahuan itu dalam ilmu Allah dan Allah Maha `Alīm akan setiap sesuatu.
Seluruh surah al-Baqarah menyediakan dan memandu umat baru manusia yang akan membawa Islam, dīn Allah yang agung dan indah ini. Tadabbur yang mendalam pada surah al-Baqarah memperlihatkan keadaan-keadaan umat terdahulu (bangsa baginda Isrā'īl) berkaitan dīn dan pelajaran dari sejarah yang diperincikan itu. Surah Al-Baqarah adalah salah satu “zahrāwayn”, cahaya (nūr) yang berseri dan jelas untuk memandu kehidupan bagi mereka yang sedar selalu (muttaqīn).
Disalin dari http://on.fb.me/1oAnMgF

Comments
Post a Comment