Mencari Hikmah Tanpa Hemah
BERHIKMAHLAH
Bila diberikan perkongsian sama ada berbentuk teguran atau makluman, terkadang datang komentar meminta hikmah, dengan cara yang penuh 'berhikmah' dan 'berhemah'.
"Tegurlah dengan berhikmah.."
"Berhikmahlah dalam penyampaian.."
Dan dalil yang sama diulang-ulang.
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ
Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan HIKMAH
[ an-Nahl (16) : 125 ]
Dan bila ditanya apa maksud hikmah tu, akan berputarlah perbincangan di sekitar kelembutan, budi bahasa, sangka baik, dan segala adab beradab yang melangit.
NABI & HIKMAH
NABI & HIKMAH
Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam pernah berhadapan dengan 3 orang yang nak buat sedikit ubahsuai ibadah, nak solat sepanjang malam tak nak tidur, nak puasa tak nak buka, dan nak mengabdikan hidup untuk ibadah tak nak kahwin.
Diorang ni mungkin jahil sikit, tapi niat diorang kan ikhlas. Kena la tegur sikit dengan berhikmah.
Tapi tengok apa respon Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam:
أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا ؟ ! أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ ، وَأَتْقَاكُمْ لَهُ ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
"ٍKaliankah yang mengatakan sedemikian? Demi Allah, Aku orang yang paling takutkan Allah, dan paling bertaqwa kepadaNya. Tetapi, aku puasa dan aku berbuka, aku solat dan aku rehat, dan aku menikahi wanita. Siapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku..!!"
[HR al-Bukhari & Muslim]
Dalam kisah yang lain, seorang sahabat berpisah dari solat berjemaah kerana sang imam memanjangkan bacaannya sedangkan dia mempunyai kerja yang perlu dibuat. Disebabkan dituduh munafiq, terus aduan dibuat kepada RasululLah.
Lor. Dah namanya solat berjemaah. Kena la fokus dan sabar. Khusyuk la. Berhikmahla sikit. Kan tok imam tu.
Lihat apa gambaran disebutkan seorang sahabat yang menyaksikan, Abu Mas'ud Al-Anshary:
فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَطُّ أَشَدَّ غَضَبًا فِي مَوْعِظَةٍ مِنْهُ يَوْمَئِذٍ
"Aku tak pernah melihat RasululLah sallalLaahu 'alaihi wa sallam walau sekali, tersangat marah ketika memberi peringatan, terutama pada hari tersebut.."
Kita tengok pula apa respon Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ مِنْكُمْ مُنَفِّرِينَ
"Wahai sekaliah manusia, sesungguhnya sebahagian dari kamu ini menyebabkan orang-orang lain lari (dari agama ini).."
[HR al-Bukhari]
Dan Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam tegur dan marah di hadapan orang-orang lain. Berani nak cakap Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam tak berhikmah?
Jangan disempitkan hikmah kepada kelembutan semata-mata. Walau barangkali jika nak dinyatakan kisah kelembutan dan budi bahasanya Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam banyak direkodkan.
Tapi, ada masanya Baginda sallalLaahu 'alaihi wa sallam marah, sakit hati, cemburu, geram, sedih, sebagaimana manusia biasa yang lain. Dan itu semuanya adalah HIKMAH.
KITAB DAN HIKMAH
KITAB DAN HIKMAH
Kerana itu perkataan HIKMAH di dalam alQuran sering digandingkan dengan alKitab.
وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ
"Dan (Rasul itu) mengajarkan mereka al-Kitab dan al-Hikmah, dan menyucikan mereka.."
[ al-Baqarah (2) :128 ]
Apa yang kita maklum biasa digandingkan dengan al-Quran? Apa lagi kalau bukan AS-SUNNAH.
Ibn Jarir menukilkan:
عن قتادة ""والحكمة" ، أي السنة .
Qatadah menyebutkan al-Hikmah itu bermaksud as-Sunnah.
[ Tafsir at-Tabari ]
Menjadikan kita memahami erti Hikmah adalah melaksanakan dan mempraktikkan setiap tindak balas dan respon dalam kehidupan seharian kita, sebagaimana tindak balas dan respon yang dilakukan Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam.
Mungkin kerana itulah, terdapat sebahagian yang memberikan satu lagi tambahan pengertian kepada al-Hikmah, mengambil intipati pengajarang dari rakaman tindak balas dan komunikasi Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam di dalam hadits-hadits yang sahih.
Mereka menyebutkan:
القول المناسب في الوقت المناسب حكمة
"Perkataan yang sesuai, pada waktunya yang sesuai, adalah HIKMAH"
KITA & HIKMAH
KITA & HIKMAH
Dan HIKMAH, tak akan dapat dicapai dan dilaksanakan kecuali dengan ILMU dan IKHLAS.
Tadabbur dan fahami kalam-kalamNya, dan hayati hadits-hadits baginda Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam.
Kelak kita tak akan berkesempatan nak memberi komentar murahan, yang hanya mendedahkan kejahilan diri yang tanpa sedar ianya sedikitpun tak berhikmah dan tak berhemah dalam meminta dan mencari AL-HIKMAH.
Semoga kita semua digolongkan di kalangan mereka dikurniakan AL-HIKMAH!! Ameen.
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ .
"Allah mengurniakan AL-HIKMAH kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan sesiapa yang dikurniakan AL-HIKMAH, sesungguhnya dia telah dikurnikan kebaikan yang banyak. Dan tiada yang mengingati, kecuali mereka yang memahami."
[ al-Baqarah (2) : 269 ]

Comments
Post a Comment