Bulan-bulan Haram: Waspada, Dosa Berganda

DOSA BERGANDA DI BULAN-BULAN HARAM

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ada dua belas bulan (sepertimana tertulis) di dalam kitab Allah (pada) hari Dia menciptakan langit dan bumi, (dan) daripadanya ada EMPAT BULAN-BULAN HARAM. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka, janganlah kalian menzalimi jiwa-waji kalian di dalamnya (yakni: bulan-bulan tersebut)

[Surah At-Taubah (9):36]

Dari Abi Bakrah radhiyalLaahu 'anhu meriwayatkan dari Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Sesungguhnya masa telah kembali seperti keadaan pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun mempunyai dua belas bulan. Daripadanya EMPAT BULAN HARAM. Tiga daripadanya berturutan: Zul-Qaidah, Zul-Hijjah dan Al-Muharram. Dan Rejab Mudhar (Mudhar merujuk kepada satu kabilah yang sangat menghormati bulan ini).

[HR Al-Bukhari dan Muslim]

Dari Tafsir Muyassar:

إنّ عدة الشهور في حكم الله وفيما كُتب في اللوح المحفوظ اثنا عشر شهرًا, يوم خلق السموات والأرض,

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di dalam ketentuan Allah dan pada apa yang telah tertulis di Al-Lauh Al-Mahfudz adalah sebanyak 12 bulan (semuanya semenjak) hari (Allah) menciptakan langit dan bumi

منها أربعة حُرُم; حرَّم الله فيهنَّ القتال (هي: ذو القعدة وذو الحجة والمحرم ورجب)

(Dan) Daripadanya ada empat bulan haram. Telah diharamkan oleh Allah pada (empat bulan tersebut) pembunuhan. (Empat bulan itu adalah Zul-Qaedah, Zul-Hijjah, Al-Muharram dan Rejab)

ذلك هو الدين المستقيم, فلا تظلموا فيهن أنفسكم; لزيادة تحريمها, وكون الظلم فيها أشد منه في غيرها, لا أنَّ الظلم في غيرها جائز.

Dan itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kalian menzalimi diri-diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut. Kerana (pada bulan-bulan tersebut) larangannya semakin keras, dan kedudukan kezaliman padanya lebih dimurkai berbanding bulan-bulan yang lain, dan ini bukan kerana kezaliman di bulan-bulan lain dibenarkan.

Ibn 'Asyur di dalam At-Tahrir wat-Tanwir menyebutkan:

أن الله جعلها مواقيت للعبادة ، فإن لم يكن أحد متلبسا بالعبادة فيها فليكن غير متلبس بالمعاصي ، وليس النهي عن المعاصي فيها بمقتض أن المعاصي في غير هذه الأشهر ليست منهيا عنها ، بل المراد أن المعصية فيها أعظم وأن العمل الصالح فيها أكثر أجرا

Sesungguhnya Allah menjadikan (empat bulan haram ini) sebagai waktu-waktu istimewa untuk beribadah. Sekiranya seseorang tidak sibuk dengan ibadah pada bulan-bulan tersebut, maka janganlah melibatkan diri dengan maksiat. Dan tidaklah larangan bermaksiat pada bulan-bulan haram ini bermaksud maksiat di bulan-bulan yang lain tidak dilarang. Malah maksud sebenar ini di sini (menunjukkan bahawa) MAKSIAT di dalamnya (bulan-bulan haram ini) LEBIH BESAR (DOSANYA) dan AMAL SOLEH di dalamnya (bulan-bulan ini) LEBIH BANYAK GANJARANNYA.

Bersemangatlah dalam menambah ilmu dan memperbanyak amal. Berhati-hatilah dari terperangkap dalam maksiat walau sekecil apapun.

BS050514

Comments