Ust Emran Ahmad berpesan:
Jangan mengatakan orang kafir lebih baik daripada orang Islam
Sudah menjadi kebiasaan di kalangan anak muda Islam untuk suka memuji kelebihan negara-negara kafir dan memandang rendah serta mencela masyarakat Islam disebabkan kelemahan yang ada pada mereka.
Hal ini berlaku kerana lemahnya pemahaman tentang aqidah Islam serta kekeliruan atau jahil tentang topik al-wala wal bara'.
Ada banyak ayat Allah melarang hal ini antaranya ;
لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ مَتَاعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئْسَ الْمِهَادُ
"Janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kebebasan orang-orang kafir yang bergerak di dalam negeri. Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahannam; dan Jahannam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.
[Ali Imran : 196-197]
Kaum muslimin, tidak boleh takjub sangat pada kemodenan, kemajuan yang dimiliki oleh negara-negara kuffar. Ini kerana segala kemajuan , kecanggihan itu tidak membantu mereka sedikit pun daripada azab Allah.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman :
وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ
"Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan di dunia untuk Kami uji mereka dengannya. Dan kurnia Rabb-mu adalah lebih baik dan lebih kekal."
[Thaha : 131]
Lupakah kita dengan negara Jepun yang maju itu ? Mereka menjadi tidak berdaya apabila Allah menimpakan mereka dengan tsunami dan bencana.
Kemajuan dan teknologi bukanlah segala-galanya.
1. Adalah tidak boleh menghina masyarakat Islam, umat Islam serta memperbodoh-bodohkan orang Islam atas kepercayaan dan pegangan mereka terhadap agama sehingga menafikan kebaikan mereka dan keimanan mereka kepada Allah SWT. Lebih buruk lagi pula sanggup memuji masyarakat kufar dan menyanjung tinggi kelebihan mereka sehingga menafikan kekufuran dan kesesatan mereka.
Diriwayatkan oleh Aisyah RA, bahawa sebahagian isteri Nabi salallahualaihiwassalam pernah berada di Habsyah (Ummu Salamah RA dan Ummu Habibah RA) dan mereka bercerita tentang keindahan gereja di Habsyah yang dilihat oleh mereka.
Maka baginda rasulullah salallahualaihiwassalam pun menegur dengan mengatakan bahawa jika ada orang yang soleh dikalangan mereka mati maka dibangunkan di atas kubur mereka rumah ibadah, lalu dilukis gambar-gambar yang pelbagai di dalamnya merujuk kepada lukisan dan ukiran cantik yang dilihat oleh isteri baginda pada gereja di Habsyah. Seterusnya baginda pun bersabda;
أولئك شرار الخلق عند الله
'Mereka itu adalah makhluk yang paling buruk di sisi Allah.'
[Riwayat al-bukhari dan Muslim]
2. Kemunduran umat Islam adalah berpunca daripada lemahnya pegangan umat Islam terhadap al-Quran dan al-sunnah serta kerana umat Islam telah mengabaikan ajaran Islam yang sebenar.
Diriwayatkan Umar al-Khattab RA pernah menyebut;
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله
'Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan selain daripada Islam maka kita akan dihinakan oleh Allah.'
[Riwayat al-Hakim]
Janganlah kesenangan dunia, teknologi, tamadun dan kesenian yang kononnya tinggi itu memperdayakan mata dan hati kita sehingga mengabaikan kebesaran nikmatnya Iman dan Islam yang telah Allah berikan kepada kita kerana sesungguhnya tidak ada nikmat yang lebih besar di dunia ini daripada nikmat hidayah Iman dan taqwa.
Comments
Post a Comment