Periksa Sebelum Percaya



PERIKSA SEBELUM PERCAYA

Iman sifatnya yakin dan pasti, tidak ada padanya keraguan.

Demikian setiap urusan dalam kehidupan, perlu ditetapkan di atas kepastian dan keyakinan, baru urusan berjalan lancar dan beroleh natijah yang diharapkan.

Andai kehidupan ini berputar di sekitar keraguan dan ke'tidak-pasti'an, ianya punca utama keresahan dan penyesalan.

Kerana itu, prinsip TABAYYUN ditekankan dengan tegas untuk ditanam dalam diri setiap insan yang mukmin.

Allah berpesan di dalam surah alHujurat, ayat ke 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

(Terjemahannya) "Wahai orang yang beriman, apabila hadir kepada kamu seorang fasiq dengan satu berita, maka PERIKSALAH.."

أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"(Bimbang) Nanti tertimpa ke atas sesuatu kaum kerana kejahilan itu dan menjadikan kamu menyesal di atas apa yang telah kamu lakukan.."

Tabayyun lah.. Periksa lah.. Datangkan keyakinan terhadap apa yang disampaikan dengan mengenal pasti tahap kebenaran kandungan yang diterima.

Andai ditelan begitu sahaja, kemudian disebar sesedap rasa. Bimbang kita terperangkap dalam amaran Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

"Memadai seseorang itu (dianggap menjadi) PEMBOHONG kerana menceritakan (baca: MENYEBARKAN) setiap apa yang didengar" [Muqaddimah Sahih Muslim]

PEMBOHONG.

Berat tuduhan yang digambarkan kerana satu kekurangan apabila apa sahaja yang diterima terus sahaja di'copy-paste', disalin, di'print-screen' dan kemudian disebarkan.. tanpa PERIKSA.

Tanpa mencari kepastian dan kesahihan. Apakah benar setiap butir kata yang tertulis dan yang dibacakan? Apakah itu yang sebenarnya berlaku? Siapakah yang sebenarnya menyaksikannya atau terlibat secara langsung? Dan pelbagai soalan yang secara umumnya akan timbul demi mencari sebuah kepastian.


Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berpesan di dalam Majmū’ al-Fatāwā beliau:

من تكلم في الدين بلا علم كان كاذب، وإن كان لا يتعمد الكذب

Barangsiapa yang berbicara tentang hal-ehwal agama tanpa ilmu maka dia dikira berdusta sekali pun dia tidak berniat untuk berdusta.


HABIS TU?

Prihatin tidak hanya terbukti dengan satu klik pada butang SHARE. Malah lebih prihatin telah kita tunjukkan pada tidak menyebarkan apa yang tidak pasti ianya hakikat kebenaran.

Kerana kerosakannya lebih besar jika manusia meyakini apa yang hakikatnya tak benar, berbanding kerosakan akibat manusia tidak mengetahui bahawa ianya benar.

Kerana kesalahan yang berakar dalam jiwa manusia itu lebih berat untuk dibersihkan berbanding kebenaran yang belum ditanamkan benihnya di ruang yang kosong itu.

TAK MAMPU VS MALAS

Nak periksa, tapi tak mampu. Bukan lagi tugas kita untuk melangkah ke luar dari batas kemampuan.

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

(Terjemahan) "Maka bertaqwalah kepada Allah, pada (kadar) apa yang (optimum) kalian mampu.." 

[atTaghaabun:16] 

Comments