Guru Borek, Murid Rintik
Antara sifat guru yang murshid dan munsif adalah sentiasa gembira melihat perkembangan muridnya dalam ilmu walaupun jauh melangkaui kefahamannya sendiri.
Antara sifat murid yang baik pula adalah sentiasa menghormati para guru dan mendalami ilmu dengan lebih giat dan proaktif menjangkau luas dan lebih dari sekadar satu pendapat dari seorang guru.
Adalah seorang guru itu sendiri dahulunya seorang murid. Dan sebaik-baik murid adalah yang kemudiannya menjadi sebaik-baik guru.
Ilmu sifatnya berkembang dan terus berkembang. Adapun jasad kita akan reput dimamah usia.
Perpindahan ilmu adalah semata-mata proses mengembangkan amanah Allah agar tanggungjawab pemakmuran bumi diteruskan demi persiapan menuju kehidupan abadi yang seterusnya.
Jangan disempitkan ilmu bagaikan harta milik eksklusif. Jangan diistimewakan ilmu seolah hanya segelintir yang mampu memahami.
Sebar luaskan agar lebih ramai yang memahami walaupun boleh jadi mereka akan lebih memahami dari kita yang lebih dahulu mengetahui.
Sekali usaha dan tak faham bukan tanda untuk berhenti. Tapi ianya tanda ganjaran berlipat ganda akan usaha yang terus konsisten. Ianya juga tanda peribadi insaf dan tawaadu' bahawa ilmu bukan milik kita tapi yang maha kuasa.
Guru dan Murid. Majulah ke hadapan. Beri ruang murid berkongsi faham. Beri ruang guru berkongsi hikmah. Demikian indah hidup menuntut dan berkongsi ilmu.

Comments
Post a Comment