Di Dalam atau Di Luar?


KENAPA TUNGGU 'CONNECTION' LEMAH?

Fahmi membuat panggilan kepada Hafidz.

"Salam. Fidz, ko ada kat rumah tak petang ni, aku nak pinjam teropong buluh ko boleh tak?"

Hafidz tanpa banyak bersoal, segera menjawab,

"Datang la.. aku ada kat rumah."

Tepat pukul 4 petang, Fahmi tiba di rumah Hafidz.

"asSalaamu 'alaikum.."

Pembuka bicara saat tiba di rumah orang. Meminta izin dari tuan rumah, itu adabnya. Hafidz pun mempelawa Fahmi masuk.

Oleh kerana kebetulan ibu Hafidz cuti bekerja dan lapang waktunya, digorengkan cucur ubi dan cekodok untuk dinikmati bersama oleh anaknya dan Fahmi.

Kemudian terdengar azan, mereka pun bersiap untuk menyertai solat asar berjamaah di surau berhampiran rumah Hafidz.

Sambil pulang mereka berbual panjang, berkongsi cerita dan saling bertukar pendapat. Sekali-sekala, jenaka silih bersambut mengundang ketawa terkekeh-kekeh dengan sengihan gurauan.

Tiba di rumah, mereka duduk sebentar menghabiskan selembar dua dari alQuran sebagai rutin harian mereka. Apatah lagi bila bersama, motivasinya lebih dari biasa. Hikmah ukhuwah bersama sahabat yang soleh.

Selesai mengaji, Hafidz menunjukkan permainan komputer yang baru di'install'nya setelah dibeli secara online. Dimain sebentar bersama tanpa keterlaluan lamanya kerana bimbang terlalai.

Langit semakin gelap. Jam menunjukkan tepat 6.45 petang. Fahmi segera meminta izin untuk pulang. Setelah mengucapkan terima kasih kepada ibu Hafidz dan Hafidz sendiri..

"Aku pergi dulu k.. asSalaamu 'alaikum"

"Wa 'alaikumus Salam wa Rahmatullah.." Balas ramah Hafidz kepada sahabatnya.

Fahmi tiba di rumah. Bersiap. Ke masjid berjemaah Maghrib.

Kemudian.. setelah tiba di rumah. Sebelum duduk berehat bersama ibu dan ayahnya.

Dia mendail telefon bimbitnya.. "Salam. Hafidz, bila aku boleh ambil teropong buluh tu ek?"

#########

AIKKK??

Jap..

Kenapa masa kat rumah Hafidz tadi tak minta? Kenapa dah balik baru nak minta, kan tadi sebelum datang dah telefon tanya? Bukan tujuan ke rumah Hafidz tadi tu nak ambil teropong tu ke? #merengkepala

Pelik bukan? Bahkan bagi sebahagian mungkin terfikir untuk meng'halal'kan beberapa perkataan 'kurang sihat' untuk ditampalkan ke dahi Fahmi yang 'cerdik' itu.

Yang ingin diajak berfikir bersama..

Sama tak suasananya dengan SOLAT?

Bermulanya TAKBIR, komunikasi kita dengan Allah bermula.

'ALLAAAHU AKBAR' #WiFiConnected #UnlimitedData #InfiniteMbps

Nabi sallalLaahu 'alaih wa sallam menceritakan bagaimana setiap ayat dari surah al-Fatihah yang kita bacakan itu dijawab Allah 'Azza wa Jalla satu demi satu.

..يَقُولُ الْعَبْدُ : الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.. يَقُولُ اللَّهُ : حَمِدَنِي عَبْدِي

Apabila seorang hamba itu membaca: 'AlhamdulilLahi Rabbil 'Alamin', Allah menjawab: 'Hambaku sedang memujiKu..'.

[HR Muslim]

Ternyata. Setiap hari paling kurang kita telah CONNECTED dengan Allah sebanyak 17 kali. Sebanyak jumlah surah alFatihah yang perlu dibaca dalam setiap solat fardhu.

Tak cukup dengan itu, Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam menggambarkan satu posisi hebat. Sangat hebat menunjukkan jarak yang begitu istimewa antara Tuhan dan hambaNya.

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

"PALING DEKAT (kedudukan) seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sedang sujud (di dalam solat), maka perbanyakkanlah BERDOA"

[HR Muslim, Ahmad, dll]

Tanpa mengkhususkan kepada sujud terakhir, peluang istimewa ini diberikan pada setiap sujud di dalam setiap solat. 34 sujud dalam sehari.

34 kali ruang istimewa itu dikurniakan buat hamba-hambaNya yang sujud menghinakan dirinya di hadapan penciptanya.

Dan.. MINTAlah.. BERDOAlah.. pada 34 kali ruang peluang yang ada saat kita sedang secara langsung CONNECTED dengan sambungan terpantas yang tak pernah tercapai oleh akal fikiran manusia biasa.

Dan masih di dalam SOLAT. Masih CONNECTED. Sebelum salam diberikan. Nabi mengajarkan:

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ ، فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ ،

"Apabila kamu telah selesai tahiyyat, maka mohonlah perlindungan Allah dari 4 perkara.."

يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

"..Dia berkata: Ya Allah, aku berlindung denganMu dari azab neraka jahannam, dan dari azab kubur, dan dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari kejahatan fitnah alMasih adDajjal.."

[HR Muslim]

Sehinggalah pada detik-detik akhir..

ASSALAAMU 'ALAIKUM WA RAHMATULLAH #WiFiUnstable #LimitedData #KurakuraSpeed

Salam diberikan. Tanda tamat. Tanda berakhir.

Hubungan masih terbina. Cuma kekuatannya tidak lagi sama.

PENGAJARANNYA

Utamakan yang utama.

Fokuslah dahulu kepada permintaan di saat hubungan itu istimewa, bukan setelah ianya lemah dan tiada.

Fokuslah dahulu untuk berdoa DI DALAM solat, kemudian terpulang (kalau nak jugak) berdoa DI LUAR solat.

Ingat. Titik yang ditekankan adalah KEUTAMAAN. Bukan dan belum titik perbezaan.

Demikian sekadar perkongsian. Demi mengingatkan sesama insan.

~BS~

Nota: Tak berdoa selepas solat belum satu kesombongan. Tapi jika di dalam solat dan di luar solat tak berdoa, ianya satu kerugian. Tapi ia bukan nilaian kasar insan, kerana ia komunikasi dengan tuhan. Tuhan tahu sama ada kita sedang fokus dalam komunikasi kita bersama tuhan atau tidak. Ini kena buat SEMUA, saya yang menulis dan anda yang membaca. Moga hidayahNya tertanam buat semua.

Comments