#JomKenalSahabat | Suhaib al-Rumi رضي الله عنه

#JomKenalSahabat

Suhaib al-Rumi رضي الله عنه

Sahabat yang memilih Allah walaupun terpaksa meninggalkan segala-galanya

Kaligrafi nama Suhaib al-Rumi رضي الله عنه

Suhaib bin Sinan al-Rumi رضي الله عنه

Apabila kita bercakap tentang kemerdekaan, kita biasanya terfikir tentang bebas daripada penjajahan, penindasan atau perhambaan.

Tetapi pernahkah kita terfikir tentang kemerdekaan daripada keterikatan kepada dunia demi mendapatkan keredaan Allah?

Inilah antara perkara yang boleh kita pelajari daripada seorang sahabat Nabi ﷺ yang bernama Suhaib al-Rumi رضي الله عنه.

Siapa Suhaib al-Rumi?

Nama beliau ialah Suhaib bin Sinan رضي الله عنه.

Walaupun dikenali dengan gelaran al-Rumi (الرومي), beliau bukan berasal daripada Rom. Malah beliau sebenarnya berbangsa Arab. 

Ketika masih kecil, tentera Rom menyerang kaampung halaman beliau di Mosul dan menawan beliau. Lalu, beliau membesar dalam kalangan bangsa Rom sehingga lidahnya menjadi pelat.

Selepas beberapa kali dijual-beli, beliau akhirnya dibawa ke Makkah dan dibeli serta dimerdekakan oleh Abdullah bin Jud'an at-Taymi. Suhaib kekal bersamanya dan berjaya dalam perniagaan.

Menurut riwayat daripada Mujahid (dalam Usud al-Ghabah), beliau tergolong dalam 7 orang pertama yang mengisytiharkan keislaman mereka — bersama Nabi ﷺ, Abu Bakr, Bilal, Khabbab, Ammar bin Yasir, dan ibunya Sumayyah. 

Suhaib رضي الله عنه turut menyertai Perang Badar, Uhud, Khandaq, dan setiap medan peperangan bersama Rasulullah ﷺ kerana beliau telah dimerdekakan sejak sebelum Islam, berbeza dengan Salman al-Farisi.

Hijrah yang menuntut pengorbanan besar

Apabila Nabi ﷺ dan para sahabat diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah, Suhaib رضي الله عنه juga mahu meninggalkan Makkah, namun Quraisy menghalangnya.

Menurut riwayat daripada Sa'id bin al-Musayyab, apabila sekumpulan orang musyrikin cuba menghalangnya di tengah jalan, Suhaib mengeluarkan semua anak panahnya dan berkata tegas:

يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، لَقَدْ عَلِمْتُمْ أَنِّي مِنْ أَرْمَاكُمْ رَجُلًا، وَأَيْمُ اللَّهِ لَا تَصِلُونَ إِلَيَّ حَتَّى أَرْمِيَ بِكُلِّ سَهْمٍ مَعِي فِي كِنَانَتِي، ثُمَّ أَضْرِبُ بِسَيْفِي مَا بَقِيَ فِي يَدِي مِنْهُ شَيْءٌ، ثُمَّ افْعَلُوا مَا شِئْتُمْ، وَإِنْ شِئْتُمْ دَلَلْتُكُمْ عَلَى مَالِي وَقِينَتَايَ بِمَكَّةَ، وَخَلَّيْتُمْ سَبِيلِي

"Wahai golongan Quraisy, kamu semua tahu aku antara pemanah terbaik dalam kalangan kamu. Demi Allah, kamu tidak akan dapat menghampiriku sehingga aku habiskan setiap anak panah yang ada padaku, kemudian aku akan menetak dengan pedangku selagi masih ada sesuatu di tanganku. Sesudah itu, buatlah apa yang kamu mahu — atau (pilihan lain) sekiranya kamu mahu, aku tunjukkan kepada kamu hartaku dan dua hamba penyanyiku di Makkah (untuk kamu ambil), dan kamu lepaskan aku pergi."
[Musnad al-Haris]

Mereka bersetuju. Suhaib رضي الله عنه akhirnya menyerahkan kesemua hartanya demi kebebasan untuk berhijrah — bukan kerana terpaksa, tetapi sebagai satu pilihan yang beliau sendiri buat.

Beliau meninggalkan hartanya
demi mendapatkan kebebasan untuk berhijrah.

Bayangkan. Setelah bertahun-tahun mengumpulkan kekayaan, beliau tinggalkan semuanya, kerana iman lebih bernilai daripada harta.

"Untungnya perniagaan itu, wahai Abu Yahya"

Apabila Suhaib رضي الله عنه sampai ke Madinah, lalu bertemu Rasulullah ﷺ, Nabi ﷺ menyambut beliau dengan kata-kata:

رَبِحَ الْبَيْعُ أَبَا يَحْيَى
"Beruntunglah jual beli itu, wahai Abu Yahya."

Suhaib رضي الله عنه kehilangan harta di mata manusia, tetapi Rasulullah ﷺ melihat pengorbanannya sebagai satu perniagaan yang sangat menguntungkan.

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ

"Dalam kalangan manusia, ada yang mengorbankan
dirinya demi mencari keredaan Allah."

Surah al-Baqarah, 2:207

Menurut Tafsir al-Qurtubi, ayat ini diturunkan khusus berkenaan peristiwa hijrah Suhaib رضي الله عنه.

Rasulullah ﷺ turut memberikan gelaran istimewa kepada Suhaib رضي الله عنه dan beberapa sahabat lain, sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra:

السُّبَّاقُ أَرْبَعَةٌ: أَنَا سَابِقُ الْعَرَبِ، وَصُهَيْبٌ سَابِقُ الرُّومِ،
وَسَلْمَانُ سَابِقُ فَارِسَ، وَبِلَالٌ سَابِقُ الْحَبَشِ

"Para pelopor itu empat orang: Aku pelopor bangsa Arab, Suhaib pelopor bangsa Rom,
Salman pelopor bangsa Parsi, dan Bilal pelopor bangsa Habsyah."
[HR at-Tabarani & al-Hakim]

Kisah Nabi saw bergurau dengan Suhaib

Suhaib رضي الله عنه bukan sekadar seorang sahabat yang terkenal dengan pengorbanannya. Terdapat sebuah riwayat yang menceritakan sisi santai beliau ketika bersama Rasulullah ﷺ.

Suhaib رضي الله عنه sendiri menceritakan: beliau datang menemui Nabi ﷺ yang ketika itu ada roti dan tamar di hadapan Baginda. Suhaib pun mula makan tamar — sedangkan matanya sedang sakit (radang mata/رمد).

Nabi ﷺ bertanya:

تَأْكُلُ تَمْرًا وَبِكَ رَمَدٌ؟

"Kamu makan tamar sedangkan kamu ada radang mata?"

Suhaib رضي الله عنه menjawab secara berseloroh:

إِنِّي أَمْضُغُ مِنْ نَاحِيَةٍ أُخْرَى

"Aku mengunyah dari sebelah yang lain!"

Nota: Kisah ini turut direkodkan dalam kitab-kitab biografi sahabat seperti Usd al-Ghabah dan Al-Isti'ab.

Apa yang boleh kita belajar?

1. Iman tidak sepatutnya kalah kepada harta.
Suhaib رضي الله عنه mempunyai harta, tetapi apabila berdepan pilihan antara harta dan hijrah, beliau memilih hijrah.

2. Pengorbanan memerlukan keyakinan.
Beliau sanggup meninggalkan sesuatu yang berada di tangannya kerana yakin dengan apa yang ada di sisi Allah.

3. Merdeka daripada dunia.
Kita boleh memiliki banyak perkara tetapi tetap menjadi hamba kepada perkara tersebut. Dunia sepatutnya berada di tangan kita, bukan menguasai hati kita.

رَبِحَ الْبَيْعُ أَبَا يَحْيَى

"Beruntunglah jual beli itu, wahai Abu Yahya."

Mungkin inilah salah satu bentuk "kemerdekaan" yang paling kita perlukan:

Merdeka daripada dunia yang mengikat hati, supaya hati benar-benar bebas untuk memilih Allah.

📌 Ringkas tentang Suhaib رضي الله عنه

Nama: Suhaib bin Sinan رضي الله عنه
Kunyah: Abu Yahya
Gelaran: al-Rumi (walaupun nasab Arab, dari an-Namr bin Qasit)
Kedudukan: Sahabat Rasulullah ﷺ, tergolong dalam as-sabiqun al-awwalun
Keistimewaan: Meninggalkan hartanya demi berhijrah; digelar Nabi ﷺ sebagai "Sabiq ar-Rum"
Wafat: Wafat di Madinah pada bulan Syawal tahun 38H (ada pandangan menyatakan 39H) pada usia 73 tahun (ada pandangan menyatakan 70 tahun), dan dimakamkan di Madinah.

📚 Rujukan

Al-Isti'ab fi Ma'rifah al-Ashab, Ibn 'Abd al-Barr (ms. 726–732); Usd al-Ghabah fi Ma'rifat al-Shahabah, Ibn al-Athir; Tafsir al-Qurtubi (pengesahan sebab turun ayat al-Baqarah 2:207).

#BroSyariefShares
Jom kenal generasi terbaik umat ini.

Comments